Categories
SELANGOR

MB: Prestasi YS Sentiasa Di Pantau

SHAH ALAM 22 MAC : Tempoh tiga bulan yang diberikan kepada Pengurus Besar Yayasan Selangor (YS), Ilham Marzuki untuk beliau menunjukkan prestasi sebenar memimpin institusi itu bakal berakhir penghujung bulan ini.

Persoalan sama ada kontrak beliau akan disambung atau tidak, kini bergantung kepada keputusan panel yang terdiri dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Khusrin Munawi dan ahli lembaga pengarah Yayasan Selangor.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengulas pertanyaan Adun Kuang Abdul Shukor Idrus berhubung tindakan Kerajaan Negeri berhubung pengurusan YS yang dipimpim Ilham.

Abdul Khalid berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar satu laporan kepada Ilham susulan laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita telah menghantar satu laporan kepada Ilham, susulan laporan dari SPRM dan kita memberi beliau tiga bulan untuk menunjukkan prestasi yang kita harapĀ  sebagai pengurus besar.

“Selepas itu, satu panel akan membuat cadangan tentang sama ada perlantikan beliau akan diteruskan dan tempoh tiga bulan tersebut akan berakhir bulan ini,” katanya dalam satu sidang media selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Ditanya pemberita sama ada perlantikan Ilham dibuat mempunyai kaitan dengan Penasihat Ekonomi Negeri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid menegaskan isu tersebut tidak relevan.

Sebelum ini, Ilham telah memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), minggu lalu.

Dalam keterangan tersebut Ilham mendedahkan terdapat ketirisan berjumlah kira-kira RM500 juta dalam YS ketika Umno/BN menguasai Selangor.

Sehubungan itu Ilham memohon pandangan Menteri Besar untuk melantik audit bebas bagi menyiasat ketirisan tersebut.

Minggu lalu beliau memaklumkan telah mendapat persetujuan Khalid untuk melantik audit bebas tersebut.

Ilham juga membuat kenyataan untuk mengheret tiga bekas Menteri Besar Selangor ke Mahkamah sekiranya terdapat penyelewengan sebelum ini.

Sejak itu media dan pemimpin Umno mula menyerang beliau.

Setakat ini YS mempunyai simpanan tunai sebanyak RM51 juta sejak Ilham menerajui yayasan tersebut berbanding hanya RM20 juta ketika Selangor berada dibawah pentadbiran Umno-BN

Leave a Reply

Your email address will not be published.