MBPJ Perlu Segera Atasi Masalah Sampah di PJ Selatan

PETALING JAYA, 14 MAC : Kotor, berbau, malah menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya.

Itulah antara situasi kurang menyenangkan yang dapat digambarkan tentang keadaan di sekitar pasar borong dan kawasan perumahan di Taman PJS 1, PJS 2 dan Taman Sri Manja di sini.

Walaupun pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyediakan tong sampah di setiap kawasan perumahan, namun ia tidak mampu menampung timbunan sampah yang semakin bertambah saban hari.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah kutipan sampah yang menjadi antara isu paling ketara yang berada di bawah pemantauannya.

Beliau berkata, isu ini menjadi semakin serius sejak dua minggu lalu ekoran pertukaran kontraktor sampah yang kini sedang diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun jelasnya, perkara ini telah diajukan kepada pihak MBPJ untuk tindakan susulan dengan jaminan ia akan diselesaikan dalam jangka waktu terdekat.

“Sebenarnya masalah sampah telah lama diperkatakan di kawasan Taman Medan dan Petaling Jaya. Saya telah menemui pihak MBPJ baru-baru ini dan mereka memberi jaminan akan menguruskan serta menyelesaikan pengurusan sisa pepejal di sini dengan segera.

Pihak MBPJ memaklumkan bahawa masalah sampah berlaku ekoran pertukaran kontraktor lama (Alam Flora) yang kini diambil alih oleh PBT. Saya berharap penduduk setempat boleh bersabar sementara menunggu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan pihak MBPJ supaya menyediakan lebih banyak tong sampah bersaiz besar di setiap kawasan perumahan untuk mengelakkan masalah sampah daripada terus berulang.

Ujarnya, penduduk juga dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekitar bagi mengatasi serangan haiwan perosak seperti lalat dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya telah menyediakan peruntukan untuk menjalankan operasi tangkap tikus bersama pihak MBPJ. Ia mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana penduduk amatlah digalakkan untuk menyertai operasi ini.

Cadangannya, bagi sesiapa yang dapat menangkap tikus akan diberi ‘upah’ atau bayaran. Ia masih berada dalam perbincangan dan akan dimaklumkan sekiranya boleh dilaksanakan,” jelasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.