Categories
NASIONAL

Mohd Sabu: BERSIH 3.0 Sebelum PRU-13

SHAH ALAM, 12 MAC : Perhimpunan BERSIH 3.0 akan dilancarkan sekiranya mendapati daftar pemilih yang dijalankan oleh Suruhan Pilihanraya (SPR) dilakukan secara tidak bersih menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata pihaknya dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedang meneliti pelbagai aspek berkenaan himpunan itu menjelang PRU ke 13 itu nanti.

” Pihak kita dan rakan-rakan kita dari NGO sedang mmbuat penelitian, jikalau kami mendapati daftar pemilih dan lain-lain perkara masih lagi tidak diselesaikan oleh Umno-BN, kemungkinan besar kita akan berkumpul sekali lagi untuk BERSIH 3.0,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam sempena Sambutan empat tahun pentadbiran PR.

Hadir sama di majlis itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta ahli exco kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya sekiranya pilihanraya diadakan secara bersih dan tidak terdapat penipuan.

” Kalau pilihanraya tidak bersih belum tentu kita dapat mengambil alih sebab itu pertubuhan BERSIH berusaha daripada tahun 2007 yang lalu diikuti tahun lepas di himpunan BERSIH 2.0 yang menuntut lapan perkara antaranya ialah daftar pemilih hendaklah bersih,” katanya.

Jelasnya lagi, SPR perlu menjawab banyak perkara antaranya penambahan pengundi yang melebihi 20 peratus di sembilan parlimen di kawasan Selangor.

” Hal ini kerana penambahan pengundi di Parlimen Subang sebanyak 35 peratus manakala Kota Raja pula sebanyak 28 peratus dan Petaling Jaya Utara pula hanya tujuh peratus pengundi baru, kenapa berlaku begitu tidak seimbang antara dua parlimen yang berjiran ini.

” Apakah usaha yang sedang dilakukan, kawasan yang betul-betul Umno-BN boleh menang mungkin mereka pindahkan pengundi-pengundi melayu ke kawasan yang mereka anggap boleh menang dan rampas pada PRU 13 akan datang,” katanya.

Tambahnya, daftar pemilih amat penting bagi rakyat Malaysia sepertimana tuntutan rakyat yang mahukan negara demokrasi dan bebas rasuah.

” Sepatutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga jika berlaku peralihan kuasa melalui demokrasi dalam pilihanraya berbanding negara lain yang banyak berlaku pertumpahan darah sebelum peralihan kuasa berlaku.

” Tetapi kalaulah pilihanraya tidak bersih inilah negara menjerumus kepada ketidakketentuan dan tidak aman sedangkan kita semua rakyat malaysia tidak mahu huru hara dan mahukan keamanan, biarlah PRU 13 berjalan dengan bersih untuk kita ambil alih putrajaya dan Perdana Menteri boleh menjadi ketua pmbangkang yang baik,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.