MPSJ Mengorak Ke arah Bandar Hijau

SERDANG, 17 MAC : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah ke hadapan dengan memperkasakan perkongsian bestari melalui pelancaran Bandar Hijau Serdang hari ini selaras dengan objektif Dasar Teknologi Hijau Negara yang bermula pada 2009.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, Serdang dipilih kerana bandar itu merupakan sebuah bandar yang dirancang dan dibangunkan berdasarkan matlamat jangka panjang bagi mencapai pembangunan mampan ke atas pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, projek itu adalah sebahagian daripada Program Perintis Pembangunan Konsep Bandar Biomas selama tiga tahun sehingga Mac tahun hadapan di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, MPSJ dan UPM.

“Pembangunan “Serdang Greentown” atau “Bandar Hijau Serdang” merupakan satu “Green Initiative MPSJ-UPM” bagi melahirkan sebuah Komuniti Hijau di samping meningkatkan kualiti hidup dan bandar lestari yang memberi manfaat kepada seluruh pelanggan MPSJ khususnya penduduk di Serdang.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada pelan tindakan dalam Pelan Strategik Subang Jaya 2012 – 2020. Bukan setakat itu sahaja, MPSJ menzahirkan komitmen kami terhadap inisiatif hijau menerusi salah satu aspirasi MPSJ – Council Key Result Area 2012 (CKRA) di bawah fokus “Go Green”,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bandar Hijau Serdang di Taman Tasik Sri Sedang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid dan Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohari.

Asmawi berkata, bagi merealisasikan “Bandar Hijau Serdang”, MPSJ dan UPM bersetuju bergabung tenaga dan kepakaran dalam sembilan bidang utama iaitu khidmat komuniti, alam sekitar, kejuruteraan, bandar raya hijau, sumber maklumat, bandar selamat, pembangunan modal insan, perkhidmatan perbandaran dan pengindahan persekitaran.

Menurutnya, di antara projek yang dijalankan di bawah sembilan bidang utama itu adalah Projek Bandar Serdang Biomas, Program Pemindahan Pengetahuan (KTP), Program Zon Bersih Sri Serdang, Program Kitar Semula dan Program Kesedaran Pendidikan Perhutanan.

“Dalam konteks MPSJ, satu dokumen sedang digubal dan dibentuk bagi menjadikan garis panduan ke arah pengurusan bandar yang lebih mesra alam iaitu “Green Action Plan MPSJ”.

“Diharap dengan pembentukan dokumen “Green Action Plan MPSJ” dapat memberi hala tuju dalam pengurusan kawasan perbandaran ke arah “green city” yang merangkumi pelan tindakan bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam kawasan MPSJ seperti pengurangan sisa pepejal, penambahan pokok hutan bandar dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata, menyedari hakikat sasaran negara untuk mencapai pengurangan pelpasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus pada 2020.

Katanya pendekatan “business as usual” dalam pengurusan bandar pada hari ini seharusnya diubah bagi menuju ke arah “green city” yang sentiasa seimbang yang berdaya saing untuk generasi masa kini dan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.