Categories
SELANGOR

Muzium Insitu Jugra Pelihara Khazanah 100 Tahun

KUALA LANGAT 24 MAC : Rakyat Selangor kini boleh berbangga kerana khazanah sejarah yang berumur lebih 100 tahun di Jugra ? sebuah pusat pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor lama – dipelihara di dalam muzium baru.

Hasil kerja-kerja ekskavasi dan pemuliharaan yang dijalankan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), kerajaan Selangor hari ini melancarkan Muzium Insitu Jugra.

Muzium yang terletak di Kampung Permatang Pasir, Banting di sini, dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Khalid berkata Kerajaan Pakatan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan muzium di Selangor.

?Dengan adanya usaha sebegini, diharap rakyat akan berpeluang menikmati kualiti hidup yang lebih baik melalui kewujudan muzium ataupun akademi seni yang memberi lebih banyak pilihan dan tumpuan kepada rakyat,? ujar beliau.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyeru PADAT untuk terus komited menjalankan usaha menyelidik dan memulihara khazanah warisan negeri seperti warisan kesenian dan permuziuman.

?Kita seharusnya mencontohi negara-negara maju yang mengangkat tinggi khazanah sejarah sehingga ada bangunan universiti mereka yang berusia lebih 500 tahun masih elok berdiri tanpa sebarang pengubahsuaian.

?Usaha ini juga diharap dapat menarik minat masyarakat setempat terutama anak-anak muda selain menjadi salah satu destinasi pelancongan yang bermaklumat,? jelas Abdul Khalid sambil menambah muzium tersebut menelan belanja sekitar RM 500,000.

Turut hadir Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Khairi, Pengerusi PADAT, Dr. Shafie Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman, serta Ahli-ahli Majlis Daerah Kuala Langat.

Muzium Insitu Jugra ditempatkan di dalam bangunan balai polis British yang dibina pada tahun 1878.

Muzium itu memuatkan penjara, mahkamah mini dan perigi lama. Pengunjung juga boleh melihat tapak cari gali serta hasil penemuan kerja-kerja ekskavasi.

Sejak dibuka dua bulan lepas, muzium itu sudah menarik kira kira 1,500 pengunjung.

Leave a Reply

Your email address will not be published.