Categories
NASIONAL

Najib Perlu Perjelas Geran RM976.7J untuk MHSB

SHAH ALAM, 18 MAC: Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak hari ini didesak agar memberikan pengesahan samada syarikat Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) mengembalikan dana rakyat berjumlah RM976.7 juta yang diterima dari kerajaan melalui geran kerajaan.

Menurut Pengarah Startegi Keadilan, Mohd Rafizi Ramli hari ini, keengganan PM berbuat demikian akhirnya nanti mengundang kemarahan rakyat kerana MHSB dikatakan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dari hasil geran kerajaan dari dana awam.

“Saya mendesak PM selaku Menteri Kewangan mengesahkan samada MHSB akan mengembalikan dana rakyat sejumlah RM976.7 juta itu, kerana jika tidak ia menimbulkan lebih banyak persoalan yang akan terus menaikkan kemarahan rakyat,” kata beliau.

Menurutnya penjualan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya oleh MHSB kepada EP Manufacturing Bhd yang bernilai RM1.7 bilion menyebabkan MHSB mengaut keuntungan mudah bernilai RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60 juta sahaja.

“Ini menimbulkan keraguan serta memandangkan pembinaan lebuhraya tersebut menggunakan dana awam yang besar melalui geran kerajaan bernilai RM976.7 juta.

“Kos keseluruhan lebuhraya tersebut dianggarkan bernilai RM1.32 bilion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh rakyat melalui geran RM976.7 juta yang diberikan kerajaan kepada Maju Holdings Sdn Bhd.

“Selain geran tersebut, saya menganggarkan suntikan dana yang dibuat oleh Maju Holdings Sdn Bhd hanyalah sekitar RM60 juta iaitu 4.5% dari kos keseluruhan kerana ia turut meminjam RM370 juta dari institusi kewangan.

“Oleh yang demikian, penjualan berjumlah RM1.7 bilion ini akan memberi durian runtuh kepada Maju Holdings Sdn Bhd sekiranya geran oleh kerajaan berjumlah RM976.6 juta tidak dikembalikan.

“Jika ini berlaku, selepas membayar hutang institusi kewangan berjumlah RM370 juta, bermakna Maju Holdings Sdn Bhd bakal membuat keuntungan berjumlah sekitar RM1.33 bilion sedangkan modal pelaburannya dianggarkan RM60 juta sahaja,” kata beliau lagi.

Rafizi turut memberitahu, tindakan tidak telus kerajaan itu akan menguatkan prasangka rakyat negara ini bahawa wujud kerjasama antara Umno dan MHSB untuk menyalurkan dana pilihan raya kepada Umno.

“Jika keuntungan RM1.33 bilion itu disimpan oleh Maju Holdings Sdn Bhd, apakah perjanjian di antara Perdana Menteri dengan pemilik Maju Holdings Sdn Bhd yang diketahui umum penyokong kuat UMNO?

“Adakah wujud persefahaman agar keuntungan atas angin yang merampas dana rakyat itu akan disalurkan kembali kepada UMNO sebagai dana pilihanraya?

“Sejak akhir-akhir ini, keghairahan PM meluluskan urusniaga melibatkan kroni Umno-BN bernilai berbilion ringgit menguatkan syak wasangka rakyat bahawa harga yang tinggi yang dikenakan kroni merugikan rakyat.

“Tambahan pula, urusniaga dalam serba kerahsiaan dan tiadanya ketelusan boleh menguatkan lagi wasangka rakyat itu,” beritahu Rafizi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.