Categories
NASIONAL

“Nambikai’ Masyarakat India telah Hilang Pada BN

IPOH, 8 MAC: “Nambikai’ bermaksud ‘Menaruh Kepercayaan’ yang pernah diucapkan Perdana Menteri semasa Thaipusam lalu membuktikan BN telah menyedari kehilangan sokongan masyarakat India terhadap komponen parti tersebut.

Timbalan Pengerusi DAP, Perak, V.Sivakumar berkata sebelum ini masyarakat India dianggap sebagai ‘Fixed deposite’ oleh MIC dan BN tetapi PRU 2008 menyaksikan tanggapan tersebut telah berubah.

“Lebih kurang 80% dari kalangan masyarakat India telah menyokong Barisan Nasional dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum PRU12.

“Walau bagaimanapun, dalam PRU 12 masyarakat India telah membuat satu perubahan besar dalam percaturan politik tanahair. Sebilangan besar pengundi-pengundi India telah menyokong DAP, PAS dan PKR dalam pilihanraya itu.” jelas beliau yang juga bekas Speaker Dun Perak ketika PR menguasai Perak.

Menurut beliau penolakan masyarakat India ini disebabkan kerajaan BN tidak serius menangani masalah yang dihadapi kaum India.

“Sering kali golongan ini tercicir dalam program-program pembangunan. Tambahan pula, kaum India menghadapi pelbagai tekanan hidup sosio-ekonomi. Nyata sekali, orang-orang India merasakan polisi diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Akhirnya kaum India telah mengambil keputusan untuk mengubah pola mengundi dalam pilihanraya yang lepas.” katanya yang juga Adun Tronoh.

Jelasnya tindakan sogokan dan membeli hati kaum India oleh pemimpin-pemimpin BN sudah terlewat setelah lebih 54 tahun nasib mereka dipinggir.

“BN hanya memberi hamper,  makan percuma, wang dan sebagainya. Semua ini adalah pemberian sagu hati dengan harapan orang-orang India mudah dibeli.

“Pemimpin-pemimpin BN cuba memperkecilkan masyarakat India dengan pemberian-pemberian kecil dan tidak seberapa itu.

“Masalah yang dihadapi oleh orang-orang India masih tidak dipedulikan oleh pimpinan BN. Mereka berlakon seolah-olah tidak nampak masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini.” ujar Sivakumar

Leave a Reply

Your email address will not be published.