Categories
NASIONAL

NFC: PKR Tidak Tunduk Ugutan Undang-Undang

PETALING JAYA, 31 MAC: PKR tidak gentar dengan ugutan undang-undang untuk mendakwa tiga pemimpin parti tersebut berhubung pembongkaran penyelewengan skandal lembah daging NFC membabitkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata beliau yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.

“Saya menghormati hak NFC dan pengurusan kanan mereka menggunakan ruang undang-undang untuk mendakwa kami, saya juga mengingatkan NFC supaya tidak cuba untuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang kini semakin aktif mendedahkan penyelewengan di kalangan pimpinan dan golongan elit.

“Maqassid undang-undang di dalam sesebuah masyarakat adalah untuk menjamin keadilan dan mencegah kezaliman, bukannya untuk melindungi penyelewengan dan memberi ruang kepada si pesalah melepaskan diri.” kata beliau melalui sebuah kenyataan media.

Jelas Rafizi beliau dan pemimpin PKR lain bersedia  memberi sepenuh kerjasama kepada pihak penyiasat sekiranya ada pendakwaan.

“Saya juga yakin untuk berhadapan dengan NFC di dalam mahkamah kerana semangat rakyat yang mahukan penyelewengan yang berlaku di dalam NFC dibongkar wajib dihormati.” ujarnya

Semalam NFC telah membuat satu laporan polis mensabitkan Rafizi, MP Lembah Pantai,Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan kesalahan di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang memperuntukkan hukuman penjara 3 tahun dan denda RM3 juta.

Kesalahan itu didakwa ekoran PKR mendedahkan pembelian 8 unit rumah kedai mewah dan keterlibatan Dato? Seri Shahrizat Jalil dan keluarga beliau di dalam pembangunan KL Eco City dalam satu sidang akhbar 7 Mac lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.