Categories
SELANGOR

Noh Omar Tuduh KSSB Tanpa Bukti

SHAH ALAM, 5 MAC – Dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengatakan berlakunya penyelewengan di dalam pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd disifatkan sebagai satu tuduhan yang sengaja dirancang untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda,Shuhaimi Shafie dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di SUK di sini hari ini.

Menurut Shuhaimi, tuduhan-tuduhan liar ini dibuat oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) kerana merasakan kedudukan mereka di Selangor semakin tergugat memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU-13) yang semakin hampir.

“Kenyataan yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam isu perlombongan pasir dikhuatiri ditulis oleh penulis upahan yang tidak berintegriti.

Ia merupakan satu tuduhan yang jelas mempunyai kaitan dengan rancangan untuk memburukkan imej kerajaan negeri,” tegasnya.

Tambah Shuhaimi, tuduhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab itu juga tidak perlu dibangkitkan kerana KSSB tidak pernah melakukan sebarang penyelewengan seperti yang didakwa.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara ini akan terus dipanjangkan kerajaan Umno-BN bagi memberi pandangan negatif rakyat kepada pentadbiran kerajaan Selangor.

“Saya berkeyakinan bahawa tuduhan ini semata-mata dibuat kerana keadaan PRU-13 dan cerita yang ditulis oleh penulis upahan ini yang lari daripada tanggungjawab untuk menjawab soalan pada pendengaran awam.

Sekurang-kurangnya saya hadir untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan berbanding penulis blog yang membuat tuduhan tersebut,” tegasnya.

Pendengaran awam SELCAT kali ini melibatkan tiga kes GLC. Selain KSSB, kes yang melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut akan didengar.

SELCAT dipengerusikan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Kim beserta empat penal yang terdiri dari Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (Hulu Klang), Haniza Talha (Taman Medan) dan wakil BN yang juga Adun Permatang Sulaiman Abd Razak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.