Categories
NASIONAL

PAS: Negara Kebajikan Ala-Umno Mufliskan Negara

SHAH ALAM, 5 MAR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa negara berkebajikan akan membawa rakyat tidak produktif dan menjadikan negara hilang daya saing dikecam Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, negara berkebajikan dalam manifesto yang dilancarkan Pas tidak akan menyebabkan negara ini bankrap sebaliknya kerakusan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkayakan diri sendiri dan kroni-kroni mampu menyebabkan negara bankrap.

“Kalau konsep Negara Berkebajikan dilaksanakan, negara ini akan semakin makmur dan rakyatnya semakin sejahtera.

“Tetapi yang boleh menyebabkan negara bankrap ialah pemimpin BN sekarang yang tamak, lebih utamakan kepentingan sendiri dan kroni-kroni.

“Menolak rasuah, pembaziran,kroni, ketirisan seperti yang dibuat oleh Umno-Bn juga merupakan sebahagian dari konsep negara berkebajikan,” demikian menurut Pesuruhajaya Pas Negeri Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim ketika dihubungi TVS hari ini, negara berkebajikan yang digariskan dalam gagasan yang dilancarkan oleh Pas sebelum ini akan membolehkan keadilan termasuk sumber kekayaan negara ini dapat diagihkan kepada semua.

“Tapi negara kebajikan Umno pula, rasuah berleluasa, kroni dan salah guna kuasa juga jadi amalan. Kalau inilah konsep negara kebajikan Umno memanglah negara akan muflis, produktiviti merosot dan rakyat akan menderita.

“Tetapi konsep negara berkebajikan yang kita bawakan dapat mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat.

“Melaksanakan konsep negara berkebajikan juga bermakna segala salahlaku seperti rasuah, ketirisan, pembaziran dan sebagainya akan dibendung ke tahap maksima supaya kekayaan negara tidak mengalir ke tempat yang salah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggariskan tiga faktor yang menyebabkan dana negara dapat diuruskan secara efektif.

“Dalam manifesto negara berkebajikan Pas, ada tiga perkara asas yang membolehkan ianya dilaksanakan secara efektif.

“Pertama, hubungan dengan tuhan kerana mampu mendekatkan pemimpin dengan tuhan sekaligus mengelakkan salahlaku.

“Kedua, Jaga kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan dengan cara ‘memberi pancing bukannya beri ikan’ sebab kalau kita beri ikan, lepas makan ikan tu, habislah.

“Tetapi kalau beri pancing, mereka boleh terus-menerus dapat ikan dengan menggunakan pancing itu.

“ketiga pula, sumber kekayaan negara tidak boleh berlegar di sekitar golongan tertentu sahaja seperti yang berlaku di kalangan pemimpin Umno-BN,” katanya lagi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut membidas media-media kawalan kerajaan yang sengaja membesarkan isu remeh dengan tujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu lebih besar yang melemakan mereka.

“Media-media Umno-BN ini memang dah tandus isu sebab itulah mereka gemar bangkitkan isu-isu remeh untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar yang lebih besar mereka hadapi,” ujar Tuan Ibrahim kepada TVS.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.