Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Kemesah Rasai Perubahan Di Bawah PR

HULU KELANG, 25 MAC : Penduduk Kampung Kemensah di sini terus berpeluang merasai pembangunan yang dibawa kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor khususnya dari aspek infrastruktur dan kemudahan awam menerusi peruntukan yang ditetapkan.

Ia terbukti melalui pembinaan semula dewan komuniti yang dilangkapi pelbagai kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat selain pembinaan gelanggang futsal bagi kegunaan belia.

Ketua Kampung Kemensah, Aziz Wahab berkata, sejak Pakatan mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008, penduduk kampung di situ tidak pernah diabaikan, apatah lagi tercicir dari arus pembangunan.

Beliau berkata, penduduk di kawasan itu juga setakat ini berpuas hati dengan pentadbiran Dun Hulu Kelang yang dipimpin Adunnya, Saari Sungib.

“Jarang sekali timbul atau berlaku masalah di kalangan penduduk di Kampung Kemensah kerana Adun amat prihatin dengan nasib rakyat di sini.

Kemajuan infrastruktur juga bertambah baik. Sebagai contoh, dewan komuniti ini boleh digunakan oleh masyarakat atau JKKK untuk bermesyuarat selain aktiviti riadah juga boleh dilakukan di sini,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Aziz, pemantauan daripada pihak berkuasa amat diperlukan untuk menjaga keselamatan dan kemudahan yang ada di kampung tersebut.

Jelasnya, kemudahan yang baru siap dibina itu juga perlu berada di bawah pemantauan untuk mengelakkan kegiatan vandalisme.

“Kegiatan vandalisme masih lagi berlaku di kawasan ini cuma keadaannya terkawal. Saya ingin sarankan kepada Dun supaya meletakkan CCTV di dewan ini khususnya sebagai langkah berjaga-jaga,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.