Categories
SELANGOR

Persisiran Sg Kelang Dipertimbang Untuk Di Majukan

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri kini dalam pertimbangan untuk melaksanakan pusat kebudayaan yang lebih komprehensif merangkumi ketiga-tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India di persisiran Sungai Kelang selaras dengan Projek Pembangunan Sungai Kelang sepertimana yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, bagi memastikan projek ini benar-benar berjaya dan memberi manfaat kepada rakyat serta tidak menjadi projek terbengkalai, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti perlaksanaan projek ini.

“Antara elemen yang perlu diambil kira dalam pembangunan pusat kebudayaan ialah konsep, aktiviti, kawasan persekitaran, kesan ekonomi dan sosial terhadap masyarakat.

“Perlaksanaan projek ini masih lagi dibincangkan oleh MMKN dan juga pandangan pihak profesional diambil kira bagi mendapatkan penyelesaian dan kaedah yang terbaik untuk melaksanakan projek pembangunan berkenaan,” jelas Rodziah menjawab soalan daripada Adun Kota Alam Shah, Manoharan Malayalam berkenaan rancangan pembinaan Pusat Kebudayaan Cina dan India di Selangor.

Selain itu, Rodziah turut menjelaskan Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam perlaksanaan projek ini terutama sekali dalam menangani isu pengambilan tanah.

“Lebih-lebih lagi usaha mendapatkan tanah yang bukan milik Kerajaan Negeri, namun kita akan memastikan supaya segala cabaran ini dapat diatasi dengan baik tanpa mengenepikan hak-hak rakyat.

“Di samping itu juga, kita sudah menjangkakan juga cabaran lain setelah pusat kebudayaan ini dibuka kelak iaitu dari segi sambutan orang ramai, penyelengaraan dan pengoperasian yang lestari,” kata Rodziah yang turut menambah pusat kebudayaan tersebut bakal menjadi mercu tanda baru Negeri Selangor.

Sementara itu, Rodziah menafikan dakwaan Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah bahawa jika Projek Pembangunan Sungai Kelang gagal, maka Projek Pusat Kebudayaan ini juga akan gagal.

“Sebanyak empat tapak cadangan telah dibentangkan MMKN iaitu Sungai Binjai, Kampung Pandan, Kampung Kuantan dan Kampung Jawa.

“Kerajaan Pakatan akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan projek ini diteruskan,” tegas Rodziah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.