Categories
NASIONAL

Program MM2H Gagal Kerana Dasar Negara Lemah

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen menyalahkan perhimpunan aman rakyat Malaysia sebagai alasan kegagalan program Malaysia My Second Home (MM2H) amat mengecewakan, kata Exco Pelancongan Selangor Elizabeth Wong.

Dalam Parlimen semalam, ketika menjawab soalan, Dr Ng berkata warga asing tidak berminat dalam program MM2H kerana mereka tidak melihat negara Malaysia sebagai negara aman dan stabil.

Elizabeth dalam satu kenyataan media berkata kenyataan Ng hanya memalukan diri dan kerajaan Malaysia dan hanya mencari alasan daripada kegagalan Kementeriannya.

“Saya ingin mengingatkan menteri itu bahawa kebanyakkan negara di dunia yang mengamalkan sistem demokrasi menganggap perhimpunan aman sebagai amalan yang biasa.

“Kebebasan rakyat menyuarakan pendirian tidak dilihat sebagai kelemahan sesebuah negara tetapi keutuhan terhadap prinsip demokrasi,” katanya.

Sebaliknya, beliau memberitahu Dr Ng bahawa MM2H bukanlah gagal kerana perhimpunan awam tetapi dasar berkaitan yang tidak mengurangkan masalah imigresen dan juga permit MM2H yang kurang menarik kerana tiada keistimewaan khas.

“Misalnya, baru-baru ini, saya menerima aduan sepasang suami isteri yang menyertai MM2H. Walaupun anak mereka berjaya memasuki universiti tempatan, beliau terpaksa keluar Malaysia sebelum membuat permohonan baru.

“Tindakan sebeginilah yang mengakibatkan kesusahan terhadap pelabur MM2H dan mengurangkan penerimaan program tersebut.

Tegasnya, adalah lebih wajar jika NG membuat kajian mendalam untuk memahami sebab-sebab kegagalan MM2H.

“Saya yakin dasar imigresen, gejala rasuah dan kedaulatan undang-undang merupakan isu-isu yang lebih utama kepada warga asing yang cuba ditarik menyertai program MM2H,” katanya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.