Categories
NASIONAL

Projek Benteng Haram Tenggelamkan Kg Ampangan

TANJUNG KARANG, 7 MAC: Pembinaan bentengĀ  di Tanah Simpanan Kekal Pembuangan Air (Water Encashment Area) Sungai Tengi oleh Kerajaan Pusat telah menyebabkan beberapa kawasan di Kampung Ampangan kerap dinaiki air dalam jangka masa yang panjang.

Menurut Ketua Kampung Ampangan, Hamidon Salim, kawasan pembuangan air tersebut telah diteroka untuk pembinaan benteng oleh pihak kerajaan pusat melalaui Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan mengakibatkan aliran air ke Sungai Tengi tersekat.

“Tanah ini adalah kawasan tadahan untuk pembuangan air Sungai Tengi bagi bendung kenaikan air naik ketika hujan lebat.

“Tetapi bila dibina benteng-benteng ini, ianya menyebabkan aliran air tersekat dan air jadi cepat naik.

“Apabila hujan lebat di Hulu Selangor, paras air akan meningkat dengan cepat dan memakan masa yang lama untuk surut semula.

“Kalau pihak kerajaan pusat berbincang dengan kerajaan negeri atau pihak tempatan tentu kejadiaan seperti ini tak akan berlaku.

“Ini tidak, main langgar sahaja, Kerajaan negeri dan Jabatan Parit dan pejabat tanah pun tak tahu apa-apa” kata Hamidon.

Hamidon juga memberitahu, pokok kelapa sawit yang ditanam oleh pendduk setempat turut berhadapan risiko mati dan tanamannya ditenggelami air sekaligus menjejaskan pendapatan.

Selain itu, beliau turut melahirkan kehairanan apabila papan tanda projek yang baru siap dibina dua bulan lalu ditulis tarikh siap projek pada 24 Disember 2009.

“Yang saya hairan di papan tanda ni ditulisnya tarikh mula dibina pada 17 Disember 2009 dan siap pada 24 Disember 2009, tetapi sebenarnya baru siap kira-kira dua bulan lepas,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam isu yang sama, Naib Yang DiPertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan pusatĀ  menyalahgunakan dana awam dengan menjalankan projek yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Selain itu, menurut beliau ianya turut menyalahi penggunaan tanah yang telah digazetkan sebagai kawasan pembuangan air Sungai Tengi dan menggesa pihak berkuasa negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk membetulkan keadaan.

“Dana awam mestilah digunakan untuk projek yang beri manfaat kepada rakyat, bukannya projek haram yang bukan sahaja tak beri manfaat tapi dah tahap menyusahkan rakyat.

“Tanah ini semenjak sebelum merdeka lagi dah digazetkan sebagai kawasan pembuangan air Sungai Tengi, jadi saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk betulkan keadaan ini,” beritahu beliau kepada TVS hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.