Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Lantikan Terus Era BN Tinggi

SHAH ALAM, 27 MAC: Era pentadbiran Barisan Nasional (BN) negeri Selangor mencatatkan kelulusan lantikan terus kontraktor sehingga RM396 juta pada tahun 2007 berbanding di era pentadbiran Pakatan Rakyat sebanyak RM60 juta pada tahun 2008.

Demikian menurut Laporan Penuh Kelulusan Lantikan Terus Bagi Tahun 2005-2011 yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Menurut laporan yang turut disentuh oleh Khalid ketika menggulung perbahasan BN telah memperuntukan sebanyak RM190,734,179 untuk projek-projek lantikan terus pada tahun 2005.

Manakala sebanyak RM171,869,262 pula diperuntukan pada tahun 2006 dan yang tertinggi pada 2007 yang telah mencatatkan sebanyak RM396,360,381.

Pakatan Rakyat yang mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor setelah memenangi Pilihan Raya Umum peringkat DUN Selangor pada Mac 2008 pula telah menunjukan penyusutan yang amat ketara berbanding sebelumnya.

Pakatan Rakyat telah memperuntukan sebanyak RM60,031,002 pada 2008 termasuk yang diluluskan oleh kerajaan BN sebelum 8 Mac tahun yang sama.

Pada 2009, sebanyak RM24,306,530 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan diikuti RM27,136,284 bagi tahun 2010.

Manakala bagi 2011 pula, sebanyak RM4,753,175 sahaja peruntukan yang diluluskan bagi projek lantikan terus kepada kontraktor terpilih.

Sebelum ini, di Dewan Undangan Negeri Selangor, Khalid telah memberitahu dewan, Kerajaan Negeri sentiasa berhati-hati dalam memberi projek rundingan terus kepada mana-mana kontraktor di negeri ini.

Menurutnya peruntukan untuk projek rundingan terus hanya dikeluarkan apabila keadaan memerlukan peruntukan segera seperti ketika berlaku bencana banjir dan sebagainya.

“Saya tak ada masa nak bahaskan samada betul atau tak betul semua ini, saya cuma berikan fakta.

“Sebagai contoh, kita perlu bina jambatan bagi orang-orang yang terjejas banjir.

“Jika kita gunakan kaedah normal, ia mengambil masa tiga bulan untuk menamatkan projek.

“Jadi kami pilih kontraktor, kami tidak akan berbuat demikian dalam keadaan biasa,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.