Categories
SELANGOR

RM10J Untuk Bantu GLC Tingkat Kemahiran Pekerja

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri akan membantu kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membincangkan isu gaji minima sebanyak RM1,500 yang sepatutnya diberikan oleh majikan kepada kakitangan mereka.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10 juta kepada syarikat GLC bagi melatih kakitangan mereka menjadi pekerja yang berkebolehan dan berkeupayaan dalam meningkatkan produktiviti syarikat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok berkata pekerja yang mempunyai gaji dibawah paras RM1,500 perlu keluar daripada menjadi golongan yang berpendapatan rendah sesuai dengan taraf hidup semasa.

” Dalam masa dua bulan kita akan berjumpa syarikat GLC bagi membincangkan berkenaan perkara itu dan dalam masa tiga bulan kita bersedia untuk memberi latihan kepada mereka,” katanya yang menjawab soalan Adun Batu Caves,Amirudin Shari mengenai gaji minima yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Khalid berkata tujuan perlaksanaan itu juga kerana mahukan pekerja syarikat GLC milik kerajaan negeri mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja lain.

” Sebagai contoh jika dia hanya budak pejabat tetapi kita boleh latih dia untuk menjadi kerani penyimpan data atau sebagainya untuk membantu pegawai lain dan dia perlu dibayar gaji lebih dari RM1,500 kerana memberi peningkatan produktiviti kepada syarikat.

” Jadi kita gabungkan konsep gaji dan produktiviti.Kita laksanakannya dalam syarikat GLC kerana ianya mudah dilaksanakan dan jika kita lakukan kepada penjawat awam, gred gajinya belum dapat diterjemahkan kerana bentuk kerja yang dilakukan dalam organisasi chart susah diubah,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam program Selangorku, peruntukkan RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.