Categories
SELANGOR

Selangor Peruntukan RM30J Untuk Kg Tradisi

KUALA SELANGOR 11 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM 30 juta kepada setiap kampung tradisi di Selangor khusus untuk pembangunan setempat.

Menurut Abdul Khalid, dengan peruntukan tersebut diharap ketua-ketua kampung dapat menjalankan tanggungjawab menguruskan peruntukkan terbabit dengan cekap dan amanah.

“Peruntukan memang kita akan beri tetapi ada syaratnya. Saya tidak mahu anda semua menjadi seperti Umno/BN. Maka diharapkan wang yang diberi gunalah sebaik-baiknya untuk pembangunan bersama,” pesan Abdul Khalid dalam Majlis Penyerahan Surat Perlantikan Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor tengah hari tadi.

Selain itu, Abdul Khalid turut memberitahu Kerajaan Negeri akan menganjurkan kursus teknologi dan komunikasi kepada setiap ketua-ketua kampung demi melancarkan segala urusan berkaitan.

“Jadi segala urusan dapat dilakukan dengan cepat dan pantas melalui urusan online.

“Secara tidak langsung proses ini akan mempercepatkan juga proses penyelesaian masalah rakyat,” ujar Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.

Ternyata, usaha Kerajaan Negeri itu disambut baik oleh Ketua Kampung Olak Lempit, Selamat Amat Judi 63, dari Mukim Tanjung 12, Kuala Langat.

“Sebagai ketua masyarakat semestinya berita ini menggembirakan saya kerana dapatlah saya salurkan bagi perkara-perkara yang memerlukan.

“Sememangnya duit bukan segala-galanya tetapi jika ada duit insyaallah segala urusan pun dapat dilakukan dengan lancar dan tanpa tangguhan,” jelas Selamat yang sudah empat tahun bergelar Ketua Kampung.

Majlis tersebut meraikan 368 orang Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dengan 331 daripadanya menerima lanjutan perkhidmatan untuk dua tahun lagi, sementara baki 37 adalah lantikan baru.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang juga Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Exco Negeri seperti Dr. Yaakob Sapari, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, Adun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie serta Adun Bukit Melawati Muthiah Maniapillay.

Leave a Reply

Your email address will not be published.