Categories
SELANGOR

Serdang Bandar Biomass Pertama

SHAH ALAM, 14 MAC : Dalam usaha menyokong usaha kerajaan untuk mengurus sisa buangan domestik daripada penempatan penduduk dan kawasan pusat komersial khususnya di sekitar Serdang, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di negara ini dalam perlaksanan ‘Bandar Biomass’ yang akan dilancarkan pada Mac ini.

Perlaksanan Bandar Biomass yang memilih Bandar Serdang itu mendapat kerjasama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penyelidik daripada Kementerian Perikanan dan Perhutanan negara Jepun.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata inisiatif itu dilakukan dalam usaha untuk menangani sisa buangan seperti makanan atau organik yang perlu dirawat kerana jika tidak, ia akan memberi impak kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan sejagat.

Katanya, ianya juga selaras dengan tagline baru MPSJ iaitu ‘Vibrant City’ yang mana mahu menjadikan MPSJ sebagai sebuah perbandaran yang mampan.

” Program ini bukan sahaja melibatkan MPSJ tetapi juga melibatkan jabatan-jabatan kerajaan di Persekutuan, berdasarkan daripada kerjasama ini, kita akan menjadi salah satu PBT yang terawal melaksanakan bandar biomass.

” Saya harap program ini akan dapat menjadikan bandar Serdang bukan saja sebgai bandar Biomass tapi juga akan dipertandingkan di peringkat negeri sebagai bandar zon bersih MPSJ untuk tahun 2012,” katanya selepas Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MPSJ.

Majlis Perlancaran itu akan diadakan pada 17 Mac ini di Taman Tasik Sri Serdang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

Pelbagai aktiviti serta pameran dirancang bagi memeriahkan majlis itu antaranya, aktiviti konvoi berbasikal, demonstrasi pengasingan sisa bagi Medan Selera Awam dan Pasar Awam dan pameran pelbagai daripada agensi kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.