Categories
NASIONAL

Sikap Pilih Kasih Noh Omar Bebankan Petani

SEKINCHAN, 17 MAC: Amalan pilih kasih sehingga sanggup mengenepikan golongan yang layak menerima bantuan atas alasan kekalahan dalam pilihanraya nyata tidak boleh diterima pakai sama sekali.

Kesan daripada tindakan ini, hampir 150 orang petani di Sungai Besar gagal untuk mendapatkan bantuan ekoran bencana banjir yang dialami mereka pada musim lalu.

Ini sekaligus menyukarkan petani untuk menampung kos kerugian ditambah musim baru tanaman padi akan bermula tidak lama lagi.

Shaharudin Arshad, 49 berkata memandangkan permohonan telah dibuat sekitar penghujung tahun lalu selain menceritakan kesukaran beliau mendapatkan cop sokongan daripada Ketua Kampung Parit 12, Sani Yusof.

“Alasan yang diberikan pada saya kerana BN kalah dan dia tidak mendapat arahan daripada YB Noh (Noh Omar),” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau terpaksa meminta bantuan daripada pejabat Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon untuk mendapatkan cop sokongan supaya layak mendapat bantuan.

Pada musim lalu, beliau hanya memperoleh 1.8 tan padi setelah sawah yang diusahakan mengalami bencana banjir.

Beliau menyewa tiga ekar bendang untuk satu musim dengan kadar RM2,500 dan dibayar selepas padi masak.

Katanya, pihak Jabatan Pertanian telah membuat kiraan semula kos bantuan yang layak diterima sejumlah RM2,452.80 dan perkara ini disahkan oleh Pembantu Pertanian, Kawasan Sungai panjang Selatan, Mohd Ezmi Harun.

Beliau turut dimaklumkan bahawa nama-nama mereka yang tertinggal daripada mendapat bantuan sudahpun dibawa ke minit mesyuarat seperti yang diterangkan oleh Pembantu Pertanian tersebut.

Sementara itu, Adun Sekinchan Ng Suee Lim berkata, sebagai kerajaan sepatutnya semua pihak yang dilanda musibah banjir seperti ini wajib dibantu tanpa mengira kepentingan atau sokongan daripada mana-mana parti politik.

Katanya, perkara sebegini merupakan salah satu penyalahgunaan kuasa serta sifat angkuh dan sombong kerajaan Umno-BN yang hanya memikirkan sokongan terhadap mereka terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan kelayakan untuk menerima bantuan.

“Saya mengesyaki menteri kita, Noh Omar ini, dari segi konteks bantuan keapda rakyat beliau pun ada unsur-unsur pilih kasih.

“Saya kata begitu dalam satu majlis jamuan makan malam yang saya hadiri bersama nelayan di Sekinchan pada awal tahun ini yang turut dihadiri oleh beliau (Noh Omar). Dalam Ucapan pembukaan beliau sendiri mengatakan kalau daripada Barisan Nasional, penyelaras MCA memohon bantuan membaiki rumah nelayan saya (Noh) akan bantu.

“Daripada Noriah, Penyelaras MCA Sekinchan saya akan uruskan. Tetapi kalau daripada DAP saya akan masukkan dalam bakul, saya tidak akan pertimbangkan , kata Noh.” jelas Suee Lin

“Ini maknanya timbulnya sikap pada menteri itu sendiri tentang bantuan kepada rakyat memang pilih kasih. Semua penduduk kampung tahu, ini bukan caranya menteri memberikan bantuan kepada rakyat,” katanya.

Jelas beliau dalam membantu rakyat, semua pihak sepatutnya bertindak secara profesional demi memastikan mereka yang layak mendapat bantuan diberikan pertolongan sewajarnya bagi meringankan beban.

Leave a Reply

Your email address will not be published.