Categories
NASIONAL

Skim PRIMA Hanya Untuk Pancing Undi

PUTRAJAYA, 24 MAC: Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) di Putrajaya tidak mampu memenuhi permintaan golongan berpendapatan seisi rumah di bawah RM6,000 kerana jumlah unit kediaman yang dibina bagaikan melepas batuk di tangga.

Menurut Ketua Cabang PKR Putrajaya, Onn Abu Bakar, kerajaan pusat disaran agar mengambil insiatif lain untuk memenuhi permintaan yang rata-rata penjawat awam di pusat pentadbiran negara itu.

“Kerajaan perlu mengambil insiatif lain, cari tanah yang sesuai untuk dibangunkan lebih banyak lagi rumah mampu milik ini.

“Malah kalau kerajaan betul-betul serius untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri, mereka boleh menjual kuarters kerajaan yang sedia ada kepada kakitangan awam yang menghuni kediaman terbabit,” kata beliau.

Langkah kerajaan yang membina hanya 560 unit rumah mampu milik di Putrajaya turut dianggap tidak realistik kerana nisbah kuantiti yang jauh lebih rendah berbanding populasi Putrajaya.

“Bagaimana skim PRIMA nak tampung keperluan penduduk kalau unit yang dibina cuma 560 unit sahaja sedangkan dianggarkan populasi Putrajaya lebih kurang 70 ribu yang kebanyakkannya adalah kakitangan awam.

“Kalau ada idea yang baik sekalipun, ia tak akan beri apa-apa makna kalau perlaksanaannya tidak realistik seperti dalam program ini.

“Adakah program ini dilaksanakan sebagai syarat semata-mata untukĀ  mempromosikan jenama 1Malaysia PM sahaja?

“Sebab apa, kita dapat lihat kaedahnya sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia, hanya penduduk di lokasi tertentu sahaja yang menerima manfaatnya, tidak menyeluruh kepada semua rakyat.

“Tetapi program tersebut dijalankan juga untuk mendapatkan ruang publisiti atau mempromosikan idea 1 Malaysia PM sahaja.

“Ia tidak lebih sebagai memenuhkan syarat sahaja ” Kata beliau kepada Selangor Kini hari ini.

Onn turut memberitahu harga hartanah yang tinggi di kawasan Putrajaya menyukarkan penduduk di sini untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
“Memang saya tak menafikan ada pilihan lain iaitu dengan membeli rumah dengan pemaju swasta, tetapi harga hartanah di Putrajaya memang diketahui tinggi.

“Sekurang-kurangnya nak beli kos sederhana di sini pun dah cecah RM300,000 yang dah tentu bukan semua orang mampu,” menurut beliau lagi.

Sementara itu dalam isu yang sama Onn turut mempertikaikan tindakan kerajaan pusat yang mengenakan syarat hanya pengundi berdaftar di Putrajaya sahaja dibenarkan memohon rumah mampu milik terbabit.

Katanya syarat tersebut meninggalkan persepsi bahawa kerajaan tidak benar-benar ikhlas membantu rakyat sebaliknya hanya mahu meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.