Categories
SELANGOR

Status Tanah Tapak Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan Selesai

SUBANG JAYA 29 MAC : Keraguan status tanah bagi Pasar Rakyat SK6/1 Seri Kembangan yang berlarutan sejak tiga tahun lalu selesai apabila dikenal pasti milik sah kerajaan negeri.

Sebelum ini, khabar angin mempertikaikan status tanah pasar baru itu bukan milik kerajaan negeri, disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia disebarkan supaya peniaga diluar pasar lama di Jalan 10/3 dan Jalan Besar membuat bantahan agar tidak bersetuju dipindahkan ke pasar baru.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemindahan ini bertujuan mengurangkan kesesakan akibat aktiviti menjaja di tepi jalan disamping pembangunan perumahan yang semakin banyak di Taman Universiti Indah, Taman Serdang Raya dan Taman Seri Serdang.

“Saya ingin mengatakan di sini bahawa pasar itu adalah sepenuhnya dikawal oleh MPSJ dan tidak ada tindakan undang-undang atau perkara berbangkit lagi mengenai status tanah.

“Kerana tanah itu milik kerajaan negeri dan dibangunkan oleh MPSJ dan akan mnguruskan pasar itu pada masa sekarang dan masa-masa akan datang,”katanya selepas Majlis Mesyuarat Penuh MPSJ.

Hadir sama, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Jelasnya, seramai 184 peniaga sudah bersetuju untuk berpindah ke lokasi baru itu dan peniaga akan diberikan kunci pada Ahad ini (1 April) serta akan mula beroperasi Isnin depan.

Pasar baru itu melibatkan sebanyak 104 unit bazar dan 80 unit bagi pasar basah.

“Kita juga minta peniaga-peniaga yang masih berniaga di pasar lama menghentikan operasi perniagaan mereka dan MPSJ akan menghantar pegawai penguatkuasa bagi memantau peniaga di kawasan lama itu untuk memastikan tiada sebarang perniagaan dijalankan,”katanya.

Berkenaan lesen perniagaan, pihak MPSJ akan menghantar pegawai dari Bahagian Perlesenan pada Isnin depan supaya peniaga dapat membuat permohonan lesen dan pembayaran boleh dibuat pada masa itu.

“Ini memudahkan peniaga supaya tidak perlu bersusah payah untuk datang ke MPSJ dan kadarnya mengikut jenis jualan perniagaan dari RM120 hingga RM240 setahun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.