Categories
NASIONAL

Suee Lim: PKPS Era Umno-BN Cagar Tanah Untuk Kroni

SHAH ALAM, 22 MAC: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 2005 yang membenarkan kerjasama dengan sebuah syarikat yang tidak mempunyai kewangan kukuh seperti yang berlaku dalam projek Taman Orkid Antarabangsa Serendah (Serendah International Orchid Park).

Katanya, kegagalan perlaksanakan ekoran pelbagai masalah serta kekangan pasaran orkid ditambah dengan sistem pentadbiran Umno-BN yang lemah dan tidak telus.

Dalam ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DYMM Tuanku, Suee Lim memberitahu, pihak Lembaga Pengarah PKPS telah membenarkan syarikat Baytown mencagarkan tanah tersebut kepada Bank Pertanian untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM8 juta sebagai modal untuk operasi Projek Orkid.

Projek ini dilakukan melalui kaedah usahasama dengan Syarikat Baytown Sdn Bhd dimana tanah yang diluluskan adalah seluas 168.8 hektar manakala tanah yang digunapakai untuk projek fasa pertama adalah seluas 42.29 hektar.

Bagaimanapun, memandangkan PKPS tiada kepakaran dan pengalaman dalam industri penanaman orkid maka PKPS hanya memegang 40 peratus ekuiti dalam projek tersebut.

“Sekitar tahun 2005, PKPS terpaksa membayar RM8 juta kepada Bank Pertanian untuk menebus kembali tanah yang dicagarkan oleh Baytown. Kalau tidak tanah tersebut akan dirampas oleh pihak bank,” katanya.

Lebih menghairankan, mengapa pihak Lembaga PKPS boleh membenarkan tanah milik mereka dicagarkan oleh syarikat berkenaan kepada bank untuk mendapatkan modal pusingan sebanyak RM8 juta, soalnya lagi.

Tegasnya, dalam konteks projek ini objektif utama yang diketengahkan bukanlah untuk memajukan industri orkid sebaliknya menggadaikan tanah bagi mendapatkan wang untuk syarikat kroni.

Jelas Suee Lim, beliau sempat meninjau beberapa projek lain PKPS yang bermasalah ketika menjadi adun pada penggal tahun 2004-2008 dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC).

Leave a Reply

Your email address will not be published.