Categories
SELANGOR

Tiada Sekatan Hasan Ali Mengambil Bahagian Dalam DNS

SHAH ALAM, 19 MAC : Pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor tidak akan menyekat atau menghalang bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Annex, malah mengalu-alukan kedatangan beliau untuk berbahas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) memberi kebebasan kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu untuk berhujah dan mengutarakan pandangan di dalam dewan.

Malah jelasnya, sidang DNS adalah platform terbaik bagi wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya untuk menyuarakan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, situasi ini amat berbeza daripada sidang dewan sebelum ini semasa zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN).

“Apabila rakyat memilih wakil itu, maknanya wakil tersebut berhak untuk menyuarakan pandangan atau keperluan rakyat. Tiada sekatan untuk dia (Hasan) berbahas.

“Bermula tahun 2008, DNS bersidang dengan mengambil kira supaya membolehkan semua ahli dewan termasuk dari BN, ahli bebas dan Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka.

“Itu sebab dewan kita bersidang sekurang-kurangnya lima hari atau lebih. Keadaan ini tidak berlaku semasa zaman pemerintahan Umno sebelum ini,” tegasnya.

Menurut Abdul Khalid, semua ahli dewan yang ingin membahas mengenai titah DYMM Sultan boleh mendapat peruntukan masa.

Bagaimanapun tegasnya, kesempatan yang diberikan ini haruslah digunakan dengan bijak dan tertib.

“Kesempatan ini mesti digunakan tetapi ahli dewan dinasihatkan untuk mengemukakn cadangan bernas dengan menumpukan kepada penyelesaian selain bersikap tertib.

Sidang dewan yang mulia ini bukanlah platform untuk mencipta satu drama mengata orang,” katanya.

ADUN Gombak Setia itu buat pertama kalinya hadir ke Sidang Dewan Undang Negeri Selangor sebagai ADUN bebas setelah digugurkan daripda jawatan exco kerajaan Selangor Januari lalu.

Hasan hilang jawatannya setelah dipecat sebagai ahli PAS.

Hasan ketika ditemui pemberita sejurus selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sidang DNS Kali ke-12 hari ini menyatakan bahawa dirinya bersedia berdepan dengan barisan kepimpinan Pakatan.

“Saya tiada seberang masalah untuk semua ini, pemecatan saya dari ahli Pas dan disusuli dengan pelucutan Exco adalah secara yang penuh bermaruah, saya di pecat bukannya kerana rasuah ataupun perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

“Agaknya perjungan saya ini tidak secucuk dengan perjuangan DAP dan PKR, walau apa pun saya akan terus berjuang,”jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.