Categories
NASIONAL

Tinjauan Pengundi Mahukan Debat Anwar-Najib

BANGI, 5 MAC : Berdasarkan tinjauan penyelidikan yang dilakukan Merdeka Center baru-baru ini mendapati 54 peratus daripada pengundi di Semenanjung Malaysia mahu menyaksikan perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dilaporkan, 67 peratus daripada hasil undian tersebut terdiri daripada golongan pengundi muda yang bersetuju sekiranya berlaku perdebatan antara kedua-dua pemimpin itu untuk mempamerkan idea dan dasar kepada negara dan rakyat.

Menurut kajian tersebut, sokongan terhadap usul itu mencatatkan undian tertinggi daripada pengundi muda berbangsa Melayu dengan 76 peratus, sementara hanya 39 peratus undian dicatatkan di kalangan pengundi Melayu berumur 60 tahun ke atas.

“Walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan perbahasan (perdebatan) itu tidak perlu dilakukan kerana ia bukan sebahagian daripada budaya rakyat Malaysia, namun kajian menunjukkan bahawa ia akan membantu pengundi membuat keputusan mereka semasa pilihan raya nanti,” kata Merdeka Center dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TV Selangor hari ini.

Antara topik-topik yang menjadi pilihan pengundi untuk dibahaskan termasuklah isu ekonomi (17 peratus), isu semasa dan nasional (9 peratus), kebajikan rakyat dan pembangunan negara (7 peratus) dan kemudian diikuti dengan isu memerangi rasuah sebanyak 5 peratus undi.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center menerusi Penyelidikan Pendapat dilakukan antara 10 hingga 23 Februari untuk  menilai persepsi pengundi mengenai perkembangan semasa politik dalam negara.

“Kajian tersebut melibatkan 1022 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 59% Melayu, 32% Cina dan 9% India. Kesemua responden ini ditemubual melalui telefon dalam pengundian. Responden telah dipilih pada asas persampelan rawak berdasarkan etnik, jantina dan negeri,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.