Categories
NASIONAL

Wang Rakyat Untuk Majlis Pertunangan Anak PM ke SPRM

SHAH ALAM, 12 MAC: Kontroversi Majlis pertunangan anak pasangan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menggunakan wang rakyat berjumlah RM409,767 hari ini dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NGO bebas, Jingga 13 hari ini membuat laporan tersebut di Pejabat SPRM cawangan Shah Alam.

“Jingga 13 mempersoalkan bagaimana majlis pertunangan anak perempuan yang bersifat peribadi berjumlah RM409,767 ditanggung rakyat Malaysia?

“Sejumlah RM18,792 untuk kos jamuan VIP seramai 36 orang yang bernilai RM522 seorang, RM309,975 bagi kos jamuan tetamu seramai 862 orang dan kos pengendalian sebanyak RM81 ribu.

“Tindakan Najib dan isternya menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya bagi tujuan peribadi adalah satu tindakan salahguna kuasa dan melakukan penyelewengan terhadap wang rakyat bagi tujuan peribadi.” Kata Pengerusi Jingga 13, Fariz Musa

Menurut Fariz, tindakan pemimpin tertinggi negara serta isterinya tersebut merupakan suatu tindakan yang pentingkan diri sendiri.

“Rakyat hidup tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barang tetapi PM dan isteri sanggup bermewah dari titik peluh rakyat untuk majlis pertunangan anak perempuan sendiri.

“Adakah PM sudah kehabisan duit sendiri, ekoran sikap boros isteri beliau sehingga sanggup mempergunakan kedudukan sebagai PM dan Menteri Kewangan bagi meluluskan bajet majlis pertunangan anak sendiri,” beritahu Fariz Musa.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan beberapa hari lalu yang mendakwa Hotel Shangri La Kuala LumpurKuala Lumpur merupakan ‘caterer’ yang mengendalikan jamuan makan sempena majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri dan isterinya yang bertunang dengan warga Kazakhstan pada 17 Jun tahun lalu.

“Dokumen ini adalah dokumen yang biasanya dikeluarkan apabila kedua-dua pihak telah selesai rundingan dan mencapai persetujuan.

“Ia menunjukkan pihak Pejabat PM dan Shangri La telah mencapai persetujuan dalam rundingan kira-kira tiga hari sebelum majlis bermula.

“Dokumen ini dikeluarkan pada 13 Jun, dimana ia boleh dijadikan bukti bahawa kos majlis ini dibiayai oleh Pejabat PM,” Kata Pengerusinya Jingga 13, Fariz Musa.

Menurut Fariz, penafian yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini merupakan penjelasan kosong serta tidak mencukupi kerana bukti yang diperoleh memperjelaskan sebaliknya.

Menurut Fariz lagi, beliau akan mengunjungi hotel berkenaan esok bagi mendapatkan penjelasan pihak pengurusan hotel terbabit.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.