Categories
SELANGOR

Xavier: Syabas DiGesa Segerakan Kerja Penyelenggara

SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Selangor menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada 13 dan 14 Mac ini di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Satu dengan profesional dan mesti disiapkan dalam tempoh 12 jam dan bukan 24 jam.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu perlu diselesaikan seberapa pantas untuk memastikan segala urusan bekalan air warga Kuala Lumpur dan Selangor tidak terjejas dalam tempoh masa yang lama.

“Kita menjangkakan tekanan air akan pulih seperti biasa selepas itu,” ujar Dr. Xavier.

Kerajaan Negeri juga mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi warga setempat mendapatkan bekalan air jika keadaan bertukar kritikal.

Mereka boleh menghubungi Talian Hotline Call Centre : 1-800-cuci-3939 yang akan disalurkan terus ke pihak Syabas untuk mendapatkan lokasi terdekat mendapatkan bekalan air.

Sebelum ini, Syabas dan Kerajaan Pusat menggesa Kerajaan Negeri untuk meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bagi mengatasi krisis air di Selangor yang dijangka berlaku menjelang 2012 namun tetap tidak dipersetujui Kerajaan Negeri.

Menurut pemantauan yang dilakukan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air.

Justeru, Kerajaan Negeri menggesa Syabas untuk merawat sumber air dengan teknologi terkini dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air dan jika berlaku sebarang krisis air ianya disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.