Categories
SELANGOR

Yaakob : Projek Perintis Tingkatkan Tanaman Padi

SHAH ALAM 26 MAC : Kerajaan Negeri sentiasa komited membela nasib golongan petani di negeri ini dengan inisiatif khusus yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pesawah kepada melebihi RM 1,500 sebulan.

Ini diucapkan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari di Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

“Bagi musim 1/2010, seramai 857 orang pesawah berjaya meningkatan pendapatan mereka di mana seramai 752 pesawah berpendapatan antara RM 1,000 hingga RM 1,500 dan seramai 105 orang mendapat pendapatan melebihi RM 1,500.

“Untuk musim 1/2011 pula, seramai 146 orang pesawah berjaya memperoleh pendapatan melebihi RM 1,500 manakala 533 orang pesawah menerima pendapatan antara RM 1,000 hingga RM 1,500 sebulan,” jelas Yaakob ketika menjawab soalan daripada Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkenaan Projek Perintis Tanaman Padi.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 10,993,302 bagi program tersebut di bawah Ransangan Ekonomi Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 3,013,302 pada tahun 2009, RM 4,930,000 pada tahun 2010, RM 3,050,000 pada tahun 2011 dan RM 3,240,000 pada tahun ini.

“Program ini juga menerima sambutan baik daripada para petani dan mereka menunjukkan komitmen serta disiplin yang tinggi dengan berpandukan buku panduan Rice Check,” ujar Yaakob yang juga merupakan Adun Kota Anggerik.

Selain itu, menurut beliau, Kerajaan Negeri juga sudah merangka beberapa strategi bagi meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan petani melalui perancangan jangka pendek dan panjang.

“Untuk perancangan jangka pendek, kita akan mewujudkan kembali kerja-kerja menyisir dan merata di peringkat akhir penyediaan tanah sawah, juga menambahkan bahan organik untuk setiap lot sawah selain mengadakan usaha bersepadu di dalam kerja-kerja pembersihan bagi menghapuskan sarang tikus.

“Bagi perancangan jangka masa panjang pula, kita akan melakukan usaha-usaha menghidupkan semula tanah dengan kaedah Pertanian Ekologi,” tambah Yaakob lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.