Categories
SELANGOR

YB Haniza Turut Banggakan Wanita Pro BN

PETALING JAYA, 22 MAC: Posisi Adun Kampong Medan  Haniza Talha sebagai Timbalan Speaker wanita pertama di di Selangor menjadi kebanggaan wanita di Taman Medan dan juga negara termasuk di kalangan penyokong BN sendiri.

Menurut beberapa penduduk wanita di Taman Medan hari ini, kejayaan tersebut boleh dianggap sebagai pengukur keupayaan wanita hari ini sekaligus mampu menandingi keupayaan ahli politik di kalangan kaum lelaki.

Menurut kakitangan swasta, Zalikha Samsuri, 26, kejayaan Haniza itu sekaligus membuktikan keupayaan wanita dalam membuat keputusan yang tepat dan tegas.

“Kedudukan YB Haniza memang buat kami rasa sangat bangga, lebih-lebih lagi bagi wanita Taman Medan.

“Dalam hal ini, rakan-rakan wanita saya yang tak minat politik atau  penyokong BN pun sama rasa bangga juga.

“Sebab jadi Timbalan Speaker bukanlah satu perkara yang mudah, perlukan ketegasan.

“Seperti yang kita lihat YB Haniza, dalam kelembutannya sebagai wanita, beliau mempunyai ketegasan untuk mengendalikan mesyuarat Dun.

“Selain itu, kejayaan beliau juga telah menaikkan lagi taraf wanita di negara ini.

Zalikha turut menolak andaian pemilihan Haniza sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor dibuat berdasarkan keputusan politik dan bukan kelayakan dan kebolehan.

“Saya tak nampak perlantikan YB sebagai Timbalan Speaker sebab kepentingan politik, tetapi jelas ianya berdasarkan kebolehan atau potensi dan kelayakan yang ada padanya.

“Semenjak 2008, dah empat tahun dia duduk jawatan Timbalan Speaker, dia dah pun buktikan kemampuannya yang setanding dengan mana-mana Speaker lelaki.

“Malah dalam beberapa aspek dia mampu lakukan lebih baik contohnya ketika menangani pelbagai kerenah YB-TB ketika berbahas dalam dewan dengan tidak  dipengaruhi idealogi politik beliau,” katanya lagi.

Zalikha turut melihat Haniza yang juga Adun Taman Medan itu sebagai seorang yang adil dan tegas dalam melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Speaker dan ahli Selcat.

Pembantu Kredit syarikat swasta, Jamiah Hakim, 50, pula menganggap  perlantikan Haniza sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor bukan sahaja menjadi kebanggaan wanita, malah turut membuka mata pemimpin negara dan masyarakat untuk memberi kepercayaan kepada golongan itu.

“Kakak selalu tengok di tv atau internet, nak kawal ahli dewan bukannya senang, tapi bila seorang perempuan mampu lakukan tugas (Timbalan) Speaker, tentulah kita wanita rasa bangga.

“Secara tak langsung buka mata masyarakat dan pemimpin tinggi untuk beri kepercayaan kepada wanita ke jawatan yang selalunya dimonopoli oleh lelaki,” katanya.

YB Haniza Talha telah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor pada Mac 2008 selepas Pakatan Rakyat Selangor berjaya merampas negeri itu dari BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Selain Dun Selangor, Perak yang turut dimenangi oleh Pakatan Rakyat ketika itu turut melantik Timbalan Speaker dari kalangan wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published.