Categories
SELANGOR

Air Mata, Kiriman Salam Kepada MB, Tanda Terima Kasih Skim SMUE

GOMBAK SETIA, 11 APR: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) mendapat sambutan hangat daripada warga emas di DUN Gombak Setia dengan hampir 2,300 orang yang telah menyertai program Jom Shopping dan Khairat Kematian.

Menurut Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehhuddin Mohd Nasir, ada peserta yang tidak dapat menahan emosi dan mengeluarkan air mata sebagai tanda terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Selangor.

Salehhuddin berkata setakat ini seramai 2,300 orang telah mendaftar untuk menyertai SMUE dan program Jom Shopping pula sudah memasuki fasa keempat yang melibatkan 600 orang.

Pejabat penyelaras DUN telah memberikan sumbangan RM2,500 setiap seorang kepada 100 orang waris keluarga warga emas yang telah meninggal di bawah Skim Khairat Kematian.

Tambahnya lagi, Jawatankuasa Penyelaras DUN mendapat kerjasama daripada ketua kampung, pihak masjid dan Ahli Majlis bagi melancarkan lagi gerak kerja dan memastikan bantuan disalurkan tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sudah dua program saya pernah melihat sendiri warga emas mengalirkan air mata di hadapan saya.

“Ada diantara mereka yang mengirimkan salam kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana cukup terharu mendapat bantuan dengan skim yang memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Pihaknya membuat semakan semula terhadap rekod yang ditinggalkan oleh mantan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali bagi memastikan mereka yang layak tidak tercicir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.