Categories
NASIONAL SELANGOR

CERIA : Kerajaan Pusat Jangan Main Politik

SHAH ALAM, 9 APRIL : Kerajaan Selangor berharap program CERIA yang dilancarkan semula oleh Kerajaan Pusat dijalankan secara ikhlas dan tidak bertindih dengan program CERIA Kerajaan Selangor.

“Matlamat program membaikpulih ini adalah untuk membantu rakyat dan bukan untuk sebarang kepentingan politik yang sempit,” ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini Kerajaan Selangor memperuntukan nisbah 80:20 bagi menanggung kos pemulihan kemudahan pangsapuri seperti lif, saluran kumbahan dan papan tanda.

Mengikut nisbah tersebut, kerajaan negeri menanggung 80 peratus kos pemulihan manakala selebihnya dibiayai oleh penduduk pangsapuri tersebut.

Iskandar berkata Kerajaan Pusat akan lancar semula program CERIA tersendiri dengan nisbah 90:10.

Akan tetapi, di dalam perlaksanaan program CERIA Selangor, didapati pangsapuri yang hendak dibaikpulih oleh Kerajaan Selangor tiba-tiba didatangi kontraktor yang tidak dikenali.

“Kerajaan Negeri telah memulakan kerja-kerja baikpulih iaitu mengecat di bawah program CERIA tetapi Kerajaan Pusat pula juga menghantar kontraktor untuk mengecat,” katanya yang juga Adun Cempaka.

Iskandar merujuk kepada kes yang berlaku di pangsapuri Taman Samudera, Gombak, dimana Kerajaan negeri telah memulakan kerja mengecat tetapi Kerajaan Pusat pula menghantar kontraktor yang lain.

Beliau juga berkata Kerajaan Selangor bersedia berkongsi maklumat berkenaan kawasan-kawasan pangsapuri kos rendah yang memerlukan bantuan membaikpulih.

Leave a Reply

Your email address will not be published.