Categories
SELANGOR

Geran SelangorKu: 150 Projek Infrustruktur Diluluskan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Sebanyak 150 projek inftrastruktur di seluruh negeri telah diluluskan menggunakan peruntukan di bawah Geran Selangorku yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa satu hingga empat.

Bagi fasa satu sebanyak 19 projek infrastruktur diluluskan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat selepas proses pemilihan kontraktor selesai.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, fasa dua pula sebanyak 17 projek diluluskan, fasa tiga 37 projek dan fasa empat 77 projek.

“Bagi fasa satu dan dua, peruntukan yang diluluskan untuk kesemua projek ini sebanyak RM5.4 juta manakala fasa tiga dan empat masih di peringkat perbincangan.

“Projek- projek yang diluluskan ini melibatkan kerja membaiki, membina dan menurap semula jalan, memasang lampu jalan, membina longkang, menaik taraf masjid,  pembinaan inftrastuktur sukan seperti gelanggang futsal.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan Geran Selangorku kepada penduduk di Sungai Ayer Tawar di Sabak Bernam sempena Program Khas Mesra Rakyat fasa tiga peringkat Daerah Sabak Bernam, semalam.

Geran Selangorku memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk projek inftrastruktur. Peruntukan itu hasil kejayaan kerajaan negeri mengutip semula hutang TALAM yang kemudian disalurkan semula kepada rakyat.

Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai pegawai kanan kerajaan negeri menentukan kelulusan projek berkenaan termasuk pemilihan kontraktor manakala proses sebut harga dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah.

Daripada 150 projek itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mencatatkan jumlah tertinggi dengan 29 projek diikuti Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebanyak 27 projek, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) masing-masing 15 projek.

Mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Sri Muda menerima kelulusan terbanyak dengan 31 projek, Meru (20), Telok Datok (13), Morib (14) dan Selat Klang (7).

Sementara itu, Program Khas Mesra Rakyat dimulakan dengan Menteri Besar menghadiri perhimpunan di Dewan Seri Bernam bersama pemimpin masyarakat diikuti sesi aduan rakyat yang memberi peluang orang ramai mengadu masalah secara terus kepada EXCO, pejabat daerah dan tanah.

Menteri Besar selaku Exco Pembangunan Tanah juga meluangkan masa hampir sejam untuk menyelesaikan beberapa masalah tanah yang diadu  kepada beliau.

Pada sebelah petang, Menteri Besar meramah mesra dengan golongan belia dan menyaksikan perlawanan futsal antara pasukan pilihan Menteri Besar dan pasukan pilihan belia tempatan sekali gus merasmikan Gelanggang Futsal Sungai Ayer Tawar. Pada malam pula diadakan ramah mesra dan jamuan rakyat di Stadium Mini Sabak Bernam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.