Categories
SELANGOR

Iskandar: Pembaikan Pangsapuri Teratai Dipantau MBSA

SHAH ALAM, 12 APR : Kerajaan Selangor akan meletakkan seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau kerja-kerja membaik pulih kerosakan bumbung dan rumah akibat ribut Februari lalu di Pangsapuri Teratai, Seksyen U16, Taman Bukit Subang, di sini sehingga selesai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas mengadakan mesyuarat tempoh hari bersama Penasihat Persatuan Penduduk, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Teratai, MBSA, Lembaga Perumahan dan Hasil Negeri (LPHS) serta wakil Ahli Parlimen Shah Alam.

Iskandar berkata, pihak JMB juga diminta untuk memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada jurutera bertugas tentang pembaikan yang masih belum dilaksanakan.

“Berdasarkan hasil mesyuarat yang dilakukan pada 5 April lalu, kerajaan negeri mengarahkan pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja di Blok 1 dan 2 serta memantau ke blok-blok lain dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam masa dua minggu (19 April),” katanya.

Iskandar juga memaklumkan, pihak kontraktor tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tuntutan sehingga semua kerja-kerja selesai.

Beliau berkata, sekiranya masih terdapat sebarang permasalahan, penduduk boleh melaporkan terus kepada pegawai LPHS, Mohd Azuan di talian 016-2262484.

“Penduduk-penduduk Blok 1 dan 2 yang mengadakan demonstrasi sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa pihak JMB telah menerima arahan berhubung kerja-kerja pembaikan tersebut.

‘Kerja-kerja pembaikan juga dianggarkan hanya sekitar RM160,000 sahaja dan bukan RM480,000 seperti yang didakwa,” tegasnya.

Pada 5 Februari lalu, Blok 1 dan 2 di Pangsapuri Teratai yang dimiliki swasta mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan rumah akibat ribut petir.

Bagaimanapun atas keprihatinan terhadap permasalahan penduduk, kerajaan Selangor menawarkan pembaikan bumbung melalui Skim Ceria dengan mengarahkan MBSA untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.