Categories
NASIONAL

Korporat Perlu Bantu Perkukuh Institusi Pendidikan

SHAH ALAM, 12 APR: Sektor korporat di negara ini disaran mengambil tanggungjawab sosial untuk memperkukuhkan institusi pendidikan di negara ini.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan ucapan dalam majlis pidato yang bertajuk ‘Wacana Politik: Pendidikan Percuma, Apakah Sekadar Mimpi? di Dewan Kiambang, Seksyen 7 di sini.

Antara peranan yang boleh dimainkan oleh sektor korporat di negara ini adalah dengan membina universiti-universiti seperti yang dilakukan oleh Petronas, Tenaga Nasional Bhd(TNB) dan Telekom Malaysia Bhd.

“Maknanya ini bukan pasal penswastaan, tetapi memaksa syarikat-syarikat yang kaya- raya yang diswastakan mewujudkan universiti untuk berikan pendidikan yang bermutu, maka universiti akan bertambah.

“Ini, ada syarikat yang untungnya berbilion-bilion, tetapi bila dekat nak pilihanraya, beri pada Umno, selesai tanggungjawab.

“Apa tanggungjawab sosial korporat, CSR syarikat-syarikat ini terhadap masyarakat negara ini? soal beliau.

Anwar turut memberitahu, beliau amat menekankan isu pendidikan sepanjang memegang jawatan Menteri Kewangan.

“Apabila kita perintah, universiti akan kita bina dengan lebih banyak seperti.. tanya Petronas, siapa yang tekankan supaya Petronas bina universiti,” katanya.

Terangnya, waktu itu beliau menekankan supaya Petronas membina universiti, manakala Dr Mahathir waktu itu hanya bercakap tentang pembinaan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang ada Philharmonic Orchestra.

“TNB pula masa mula-mula diswastakan dapat untung berlipat kali ganda, saya tanya Tan Sri Ani Arope bagaimana dengan perumahan pekerja dan bagaimana dengan pendidikan anak-anak mereka? Dia terkejut.

“Selepas itulah TNB bina Uniten dan sama juga dengan Telekom mereka letakkan asas untuk bina universiti di Taiping,” katanya lagi.

Dalam majlis dialog yang dihadiri kira-kira seribu orang itu turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan beberapa pemimpin gerakan mahasiswa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.