Mafrel: Isu Utama Adalah Daftar Pemilih

SHAH ALAM 5 APRIL : Badan Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) berpendapat hasrat rakyat untuk menikmati sebuah pilihanraya yang bersih dan adil untuk sesi akan datang tidak akan kesampaian selagi masalah daftar pemilih tidak dilakukan secara berhemah..

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) yang hanya meluluskan penggunaan dakwat kekal dan selebihnya tidak diberi penekanan sebagaimana termaktub dalam tuntutan BERSIH 2.0.

Presidennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata penggunaan dakwat kekal hanya berperanan mengekang pengundi berganda sebaliknya apa yang menimbulkan persoalan terhadap ketulusan proses pilihanraya ialah daftar pemilih yang masih meragukan.

“Isu daftar pengundi masih belum selesai sehingga keputusan PSC baru-baru ini, isu berhubung keraguan terhadap isu ini nampaknya masih tidak ditangani dengan tuntas.

“Dari satu sudut, kita masih tidak mampu menyelesaikan isu ini kerana masih ada ruang untuk wujud keraguan,”jelasnya.

Persoalan 42,000 pengundi meragukan setakat ini, masih belum lagi dibersihkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Selain itu, 65,000 pengundi direkodkan berumur 85 tahun hingga 100 tahun juga dipersoalkan.

Ini ditambah dengan 4,500 nama isteri anggota polis didaftarkan sebagai pengundi pos oleh SPR.

“Sekirannya perkara ini boleh dibuktikan bahawa masih lagi ada, ini bermaksud kita belum lagi ada satu senarai daftar pemilih yang bersih.

“Kembali kepada isu pokok, jika kita masih dengan daftar pemilih yang meragukan, selagi itulah kita akan ada masalah dengan pilihanraya dan keputusan yang akan keluar selepas PRU-13 akan datang, tidak kira parti manapun yang menang,”jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.