Categories
NASIONAL

Mahasiswa: Khaled Nordin Patut Undur

SHAH ALAM, 16 APR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin disarankan mengundurkan diri dari terus memegang jawatan yang disandangnya kerana gagal memastikan pendidikan percuma dilaksanakan oleh kerajaan.

Demikian reaksi Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas), Safwan Anang Talib berhubung kenyataan Khaled yang mencabar golongan mahasiswa yang mahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan  memulangkan wang pinjaman tersebut.

Safwan juga menganggap, kenyataan tersebut merupakan satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta memalukan golongan penerima PTTN.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggung jawab datang dari seorang Menteri dan wajar untuk Datuk Seri Khaled Nordin mengundurkan diri.

“Sebagai seorang menteri Khaled seharusnya berpihak kepada mahasiswa dengan berjuang membela nasib mahasiswa supaya memastikan pendidikan percuma dilaksanakan bukannya menjadikan mahasiswa sebagai penghutang,” kata Safwan yang juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Menurut Safwan, kegagalan Khalid membela nasib pelajar dan mahasiswa membuktikan tidak ada kesungguhan kerajaan serta menterinya untuk membela masa depan generasi muda di masa depan.

“Adakah dia (Khaled) tahu bahawa pelajar dipaksa membuat pinjaman dengan PTPTN dengan kadar faedah yang tinggi berbanding pinjaman yang disediakan oleh yayasan kerajaan negeri.

“Masalahnya, pelajar tak boleh terus mohon pinjaman dari yayasan negeri tetapi hendaklah memohon dari PTPTN dahulu.

“Sekiranya gagal dapat pinjaman dari PTPTN barulah boleh mohon dari yayasan-yayasan negeri.

“Kalau tak mohon dari PTPTN dahulu, memang tak boleh mohon pinjaman dari yayasan negeri walaupun faedah yang dikenakan PTPTN jauh amat tinggi.

“Isunya adalah bukan sekadar PTPTN dimansuhkan tetapi pendidikan percuma harus diberikan kepada rakat negara ini,” ujarnya kepada TVS.

Sementara itu dalam perkembangan kempen menuntut agar PTPTN dimansuhkan, kira-kira 20 aktivis mahasiswa yang terus kekal berada di Dataran Merdeka telah bertindak memasang semula tiga buah khemah.

Terdahulu, kira-kira jam 10.15 pagi tadi kesemua lima buah khemah aktivis mahasiswa telah dirampas oleh kira-kira 50 penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan anggota polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published.