Categories
NASIONAL

MB: JK Khas Kaji Kemampuan JAIS Di Tubuh

SHAH ALAM, 4 APR – Kerajaan Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji kekuatan dan kemampuan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menyelesaikan konflik dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam termasuk isu murtad.

Jawatankuasa ini akan dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin, Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais Rashid, Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman serta dibantu dua pegawai undang-undang dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Jais.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurutnya, anggota jawatankuasa yang dipilih ini bukan sahaja akan menilai kemampuan Jais, tetapi juga akan merangka mekanisma dan kaedah bagi memantapkan lagi peranan jabatan dalam mencari penyelesaian berkesan dan holistik.

“Mekanisma ini akan dibentang kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan seterusnya dibawa kepada DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat bahawa jawatankuasa ini akan memberi penambahbaikan kepada Jais dalam peranannya untuk mengangkat martabat agama Islam setelah wujudnya “cakap-cakap” mengenai cubaan untuk memurtadkan umat Islam menerusi pendedahan video.

Namun pada hakikatnya jelas Abdul Khalid, bukti yang dikemukakan sangat lemah, malah tidak menyokong dakwaan yang dibuat.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mendapatkan pandangan peguam syarie mengenai isu ini dan ternyata perbuatan yang dikatakan sebagai “pendedahan” itu tidak cukup sebagai bukti untuk pendakwaan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan niat baik pihak tertentu yang mempertahankan kesucian Islam tetapi tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menyalahgunakan pendirian ini untuk melakukan apa-apa yang boleh memberi impak negatif kepada keharmonian kaum di Selangor dan Malaysia amnya,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, pihak kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk memanggil Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang membuat pendedahan video berhubung isu murtad baru-baru ini bagi membuktikan kesahihannya jika perlu.

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebelum ini membuat pendedahan bukti video yang mendakwa terdapat individu Melayu Islam yang pernah keluar dari agama Islam bagi membuktikan dakwaan beliau bahawa gejala memurtadkan Muslim di negara ini sememangnya berlaku.

Pendedahan yang dibuat di kediamannya itu menayangkan video sepasang suami isteri yang pernah terlibat dengan kegiatan Kristianisasi sehinggalah kepada mereka dimurtadkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.