Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Strategi Ekonomi PR Berasas Kepentingan Rakyat

BESTARI JAYA, 16 APR : Pakatan Rakyat (Pakatan) mempunyai strategi ekonomi berbeza berbanding Barisan Nasional (BN) dalam merangka sesuatu pembangunan demi kemajuan negeri dan negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan sebagaimana apa yang telah dipraktikkan Pakatan di negeri yang ditadbirnya, terdapat perbezaan ketara dengan apa yang dilakukan BN.

“Kita dari parti berbeza tentunya punya strategi ekonomi yang berlainan dalam sesuatu isu. Saya fikir kita tidak seharusnya mengambil strategi ekonomi itu dalam bentuk pengasingan tetapi melihatnya secara total.

“Saya rasa BN melihat tranfornasi ekonomi itu dalam cara berbeza dengan Pakatan. Itu yang saya fikir,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perasmian Kompleks Perumahan dan Pengurusan Ladang Tennamaram di sini hari ini.

Kompleks perumahan tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir, Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam.

Abdul Khalid berkata, pendekatan ekonomi kedua-dua parti memang berlainan dan setiap satunya punya kelebihan.

“Apa yang penting bagaimana anda mahu menggunakan hasil wang pembayar cukai demi kepentingan rakyat,” katanya.

Ketika mengulas penempatan kompleks tersebut, Abdul Khalid berkata ia satu strategi bagi menjaga kebajikan pekerja dan penduduk ladang di Selangor dan negara ini.

“Dengan cara itu tidak ramai akan keluar dan kerja di industri-industri yang lain.

“Kita juga berharap dengan adanya kompleks sebegini ramai pekerja tempatan memasuki pekerjaan di ladang kerana kompleks ini akan memboehkan mereka bekerja dan hidup bersama keluarga serta membangunkan keluarga. Sasaran kita ialah kita dapat kurangkan pengantungan kita kepada pekerja asing,” ujarnya.

Beliau berkata, pembinaan kompleks perumahan itu juga merupakan cara baru bagi penempatan penduduk yang mana  terlalu ramai berhijrah ke bandar.

Katanya, dengan cara itu dapat diadakan satu penempatan yang selesa untuk semua orang bersesuaian dengan Selangor disebabkan negeri itu sekarang bergerak ke tahap perbandaran.

Di Majlis tersebut Perdana Menteri dan pemimpin Umno-BN Selangor di lihat cuba mengambil kesempatan dari pembangunan negeri Selangor untuk tujuan mengambil hati pengundi kaum India.

Bagaimana pun pemimpin-pemimpin Umno-BN tersebut gagal berbuat demikian ekoran kehadiran Abdul Khalid di majlis tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.