Categories
SELANGOR

MBPJ Berjaya Atasi Masalah Tasik Berbau

PETALING JAYA, 5 APR : Tasik Taman Jaya dan Tasik Taman Bandaran yang mengeluarkan bau busuk serta menerima rungutan dan aduan daripada orang ramai kini menampakkan perubahan apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil tindakan merawat tasik tersebut.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman mengumumkan perkara tersebut ketika sidang media sempena lawatan tapak rawatan tasik di Dataran Tasik Taman Jaya hari ini.

Beliau juga memaklumkan Jawatankuasa Kecil Sistem Rawatan Tasik ditubuhkan pada Januari 2012 bagi membincangkan kaedah terbaik dalam memelihara dan memulihara tasik-tasik di bawah pentadbiran Majlis dimana beberapa Jabatan Teknikal Majlis menganggotai jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa kecil ini ditubuhkan kerana MBPJ memandang serius rungutan dan aduan yang dibuat oleh orang ramai kerana tasik ini mengeluarkan bau yang busuk akibat sisa buangan daripada beberapa premis-premis berhampiran,” jelas Mohamad Roslan.

Sehubungan itu, MBPJ telah memulakan proses ini yang melibatkan kos bernilai RM173,800 setahun bagi Tasik Taman Jaya dan RM194,800 bagi Tasik Taman Bandaran.

Sementara itu, kaedah rawatan yang digunakan adalah secara biologikal dan mesra alam kerana tiada bahan kimia digunakan serta dapat mengurangkan bau yang kurang menyenangkan.

Selain itu, kaedah ini dapat meningkatkan tahap kejernihan air seterusnya meningkatkan kualiti air serta berupaya merencatkan pertumbuhan bakteria yang tidak berfaedah.

Mohamad Roslan berkata, sejak Jawatankuasa kecil ini ditubuhkan, tiada lagi aduan dan rungutan bau busuk daripada orang ramai dan menyatakan MBPJ akan melaksanakan proses berterusan bagi menjaga tasik ini.

Malah, beliau turut menyeru semua pihak termasuk premis-premis, rumah dan kilang-kilang untuk sentiasa menjaga alam sekitar kerana memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.

Tasik Taman Jaya dan Tasik Taman Bandaran merupakan tasik tadahan yang menerima kemasukan air daripada kawasan perumahan, kawasan komersial serta air larian permukaan daripada kawasan sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.