Categories
SELANGOR

MBS Tidak Perlu bayar Sewa Jika Tingkatkan Mutu Belia

SHAH ALAM, 4 APR : Kerajaan Negeri Selangor tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada pihak pengurusan Majlis Belia Selangor (MBS) sekiranya persatuan tersebut berjaya membuktikan kemampuan meningkatkan mutu golongan belia di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri Selangor sedia bertolak ansur dengan MBS berhubung isu kenaikan sewa premis pejabat persatuan itu di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7.

“Kalau ada persatuan belia yang tidak memberikan apa-apa sumbangan, tetapi mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan tidak membayar sewa, wajarlah kita naikkan sewa kepada 300%  malah lebih dari itu pun kita mahu naikkan.

” Kalau persatuan itu aktif dalam melakukan kerja menaikkan tahap belia di Selangor, kita akan memberikan subsidi yang bermaksud persatuan itu tidak perlu membayar sewa premis,” jelas Abdul Khalid lagi.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat Exco-exco Selangor di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurut Abdul Khalid sebelum ini premis yang disewa oleh MBS tidak pernah dikutip dan adalah wajar Kerajaan Negeri menaikkan sewa premis sebanyak 300%.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mengabaikan gulungan belia jika aktif dalam melakukan kerja menaikkan mutu belia di negeri ini

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan bahawa pengurus yang menjaga bangunan itu tidak menjaganya dengan sempurna maka kenaikan sewa premis di bangunan itu adalah bersesuaian dengan beberapa aspek yang telah diambil kira oleh Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, MBS dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Selangor, MSNS Holdings Sdn.Bhd yang menaikkan sewa premis pejabat persatuan itu dari RM1,977 kepada RM5,280 sebulan.

MBS turut dilaporkan tidak perlu membayar sewa dan beroperasi di tingkat empat dan lima premis itu sejak 2001, namun mulai Januari 2011, syarikat milik kerajaan negeri tersebut mengenakan sewa bagi satu tingkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.