Categories
SELANGOR

MPSJ :Bina Kunci Air Baru Halang Banjir

SHAH ALAM 09 APRIL : Sebuah kunci air akan dibina dalam tempoh segera di Kampung Kenangan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi mengekang limpahan air sungai Klang memasuki kampung itu dan menyebabkan banjir.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pihaknya kini dalam proses merekabentuk kemudahan yang pernah dicadangkan beberapa penduduk sebelum ini.

“Jabatan Kejuruteraan kini dalam proses mereka bentuk kunci air itu yang akan berfungsi untuk mengelakkan air masuk kampung,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Asmawi berkata, pihaknya akan berbincang dahulu dengan Jabatan Kejuruteraan untuk meneliti pelan pembinaan kunci air terbabit dalam masa beberapa hari lagi.

“Segala maklumat akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Tambah Asmawi, kos pembinaan dianggarkan bernilai hampir RM20,000 dan penduduk diminta memberikan kerjasama menguruskan kunci air itu selepas pembinaannya selesai.

Inisiatif itu diambil oleh MPSJ selepas penduduk kawasan itu ditenggelami air awal bulan lalu.

Dalam kejadian lalu, kuantiti air hujan yang luar biasa menyebabkan air sungai Klang melimpah ke dalam kampung.

Bencana itu menyebabkan puluhan rumah ditenggelami air manakala laluan jalan raya dipenuhi sampah sarap yang dialirkan bersama limpahan air sungai.

Leave a Reply

Your email address will not be published.