MPSJ Kemuka Rayuan Di Mahkamah Untuk Baiki Tembok Penahan

SUBANG JAYA, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menghantar permohonan rayuan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya berkaitan kerja-kerja memperbaiki tembok penahan yang runtuh di Jalan Puteri 9/2A, Bandar Puteri 9, Puchong.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Undang-Undang MPSJ, Anita Jalil berkata, dua penghuni rumah terlibat berjaya mendapatkan perintah injuksi mahkamah berkaitan tanah milik mereka yang digunakan sebagai laluan alternatif.

” Penduduk terlibat berjaya mendapatkan perintah mahkamah seterusnya menghalang pihak pemaju untuk melakukan kerja baik pulih tembok penahan yang runtuh tersebut,” ujarnya ketika sidang media di Bangunan MPSJ hari ini.

Katanya, tindakan mereka ini hanya akan memburukkan keadaan kerana pihaknya sudah memberi jaminan tembok pagar rumah mereka akan dibaiki semula seperti sediakala selepas proses memperbaiki tembok penahan ini selesai.

Terdahulu, notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) diberikan kepada empat pemilik lot rumah banglo terlibat bagi memberi kebenaran untuk dirobohkan pagar bagi pembinaan laluan alternatif sementara pihak pemaju memperbaiki tembok penahan tersebut.

Mengikut Akta 133, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa untuk menyelenggara dan membaiki jalan-jalan awam dengan memberikan notis bagi meruntuhkan binaan dalam masa yang ditetapkan dan mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar oleh PBT.

Sementara itu, laluan alternatif yang telah siap pada 16 April lalu akan digunakan oleh 57 penghuni rumah. Manakala  pemaju, IOI Sdn Bhd akan melakukan kerja baikpulih.

Namun, dua penghuni rumah terbabit berjaya mendapatkan perintah injuksi mahkamah pada 17 April lalu bagi menghalang pihak MPSJ membuka laluan alternatif tersebut.

Sebelum ini, wujud pihak tidak bertanggungjawab mengadakan bantahan mengenai laluan alternatif tersebut dan turut bertindak menghalang jalan tersebut dengan meletakkan kereta dan batu bata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.