Penduduk Seksyen 7 Shah Alam Tidak Puas Hati Pemaju Didakwa Tidak Ikut Peraturan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pembinaan sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, mengundang rasa tidak puas hati penduduk disebabkan mengeluarkan bunyi bising selain debu tanah yang menganggu persekitaran.

Masalah ini dibangkitkan wakil penduduk, Zain Wahidnuddin ketika sidang media bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pagi tadi.

Projek pembinaan kondominium 33 tingkat berkenaan baru memulakan kerja dua minggu lalu didakwa Zain dilakukan tidak mengikut spesifikasi perancangan kerja kerana pihak pemaju tidak membina pagar zink untuk menutup kawasan projek dan setakat ini hanya bingkai tiang sahaja didirikan.

Jelas beliau, pagar penghadang sepatutnya dibina terlebih dahulu sebelum sebarang kerja di tapak pembinaan dimulakan.

“Setiap pembangunan mesti ada ‘buffer zone’ tetapi telah digunakan sebagai jalan keluar masuk. Saya tidak tahu kebenaran mana dia(pemaju) dapat. ‘Buffer zone’ jadi laluan air memandangkan longkang tidak dibina. Kolam takungan air juga tidak dibina.

“Lebih mengecewakan, tidak ada kolam kecil untuk lori membersihkan tayar sebelum melakukan perjalanan keluar ke jalan utama,” katanya.

Seorang lagi wakil penduduk, Mohd Badaruddin Othman berkata, projek pembinaan di kawasan tersebut menggunakan ‘hammer piling’, bukannya ‘hidraulik piling’ yang mengakibatkani kawasan berkenaan mengalami masalah struktur tanah yang mendap baru-baru ini.

Beliau menambah, dibawah tanah di kawasan perumahan mereka terdapat paip gas milik Gas Malaysia yang dikhuatiri akan terjejas hasil kerja-kerja piling berkenaan.

Selain itu, pembinaan ini juga menimbulkan kesesakkan lalu lintas berikutan tindakan lori keluar masuk yang menganggu penduduk.

Mohd Badaruddin memberitahu, sejak jam 7.30 pagi, hampir 10 buah lori akan beratur untuk memasuki kawasan pembinaan sehingga mengakibatkan laluan keluar masuk penduduk setempat terganggu sehinggakan mereka terpaksa mencari jalan alternatif lain bagi mengelakkan kesesakkan.

Sementara itu, Khalid meminta Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu memberikan perhatian kepada masalah ini memandangkan sebelum ini banyak rungutan telah disuarakan penduduk Seksyen 7.

Leave a Reply

Your email address will not be published.