Categories
NASIONAL

PKR Dakwa NFC Cuba Lupus Harta

KUALA LUMPUR, 5 APR : PKR menggesa Kerajaan Persekutuan membekukan semua transaksi aset dan kepentingan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana kemungkinan besar perolehan harta oleh syarikat tersebut menggunakan dana awam RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata tanpa kesungguhan kerajaan pimpinan Umno-BN menyiasat penyelewengan ini dikuatiri NFC dan pemiliknya didakwa sedang dalam usaha melupuskan harta dan aset dipercayai dibeli menggunakan dana tersebut.

Menurutnya, isu ini tidak harus dipinggirkan hanya kerana tindakan mahkamah yang mendakwa Pengarah Urusan NFCorp, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuatkuasa pada 8 April ini.

“Setakat ini telah terbukti bahawa pemilik NFC iaitu keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

“Persoalannya yang paling kritikal ialah bagaimana semua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Pembekuan harta dan aset dimaksudkan itu menurutnya adalah semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas 2007 iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan NFC.

“Selain itu semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas 2007 sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat yang dikuasai pemilik NFC ataupun atas nama mereka sendiri.” kata Rafizi ketika mengadakan sidang media di Lobi parlimen petang tadi.

Selanjutnya beliau berkata, ia juga termasuk sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC dan sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan yang lainnya.

“Oleh sebab itulah PKR telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya termasuklah harta-harta peribadi tetapi perkara ini tidak berlaku.

“Hari ini saya nak mendedahkan bagaimana dalam ruang masa sebulan di antara masa Datuk Seri Shahrizat meletak jawatan sehingga sekarang telah digunakan pada pendapat saya untuk mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC dan membolehkan pihak terbabit iaitu keluarganya mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah yang sepatutnya dibekukan,” katanya.

Rafizi berkata, pemilik NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya, Wan Shahinur Izran kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd.

Menurutnya, tiga hartanah dimaksudkan dibiayai bank yang sama sebelum ini membiayai pembelian lapan unit hartanah mewah di KL Eco City lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah itu juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Beliau berkata, ketiga-tiga hartanah dinyatakan adalah di No B-00-22, B-01-22 dan B-02-22 di Plaza Damas 3, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur yang dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd dengan nilai RM1.5 juta, RM759,000 dan RM741,000 yang kesemuanya berjumlah RM3 juta.

“Cuma saya nak sebut bahawa harga pasaran bagi ketiga-tiga hartanah ini dianggarkanĀ  berjumlah RM4 juta maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25 peratus.

“Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa sebab dari awal tahun ini mereka janji untuk lantik pihak audit dan kemudian dikatakan semua harta dibekukan. Kalau kedua-dua ini berlaku sudah tentu urusniaga aset-aset pada harga yang murah ini tidak berlaku,” katanya.

Maka dengan itu katanya, jika perkara sebegini boleh terlaksana tanpa sebarang pengawasan, bermakna perkara sama boleh juga berlaku dengan aset lain dimiliki oleh keluarga Shahrizat tetapi dibeli menggunakan dana awam seperti didedahkan sebelum ini.

“Iniseperti Kondominium One Menerong (RM14 juta), dua plot tanah di Putrajaya (RM3 juta, Kondominium di Orchard Scotts (RM10 juta), dua kondominium di Marina Bay Suites (RM34 juta) dan lapan unit rumah kedai pejabat di KL Eco City (RM12 juta).

“Urusniaga yang melupuskan harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong. Bila dia umumkanĀ  pada 14 Januari lalu bahawa harta dan operasi telah dibekukan tetapi tiada apa yang berlaku. Ia hanya satu pengumuman,” katanya.

Rafizi menambah, arahan dikeluarkan Najib tidak diendahkan dan dihormati keluarga Shahrizad.

Katanya, pihaknya menegaskan segala urusniaga dan operasi NFC perlu dihentikan segera kecuali melibatkan kos pendapatan pekerja dan keperluan asas.

Leave a Reply

Your email address will not be published.