Categories
NASIONAL

Risalah Provokasi Tak Halang Kebangkitan Pelajar

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Himpunan Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicemari dengan pengedaran risalah provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai usaha menangkis sokongan terhadap tuntutan ini.

Risalah yang memaparkan karikatur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap mengkritik kerajaan menghapuskan PTPTN namun dipersoalkan semula memandangkan pada ketika itu beliau masih memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Risalah tersebut diletakkan di dalam bakul motosikal yang diletakkan di Dataran Merdeka turut memaparkan implikasi pemansuhan PTPTN  dan implikasi pendidkan percuma versi Pakatan Rakyat.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam reaksi memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah terhadap risalah berkenaan dan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan atau bangkangan mengenai tuntutan ini.

Setiausaha SMM, Haziq Abdul Aziz berkata,  pada tahun 1998 merupakan zaman kerajaan mengamalkan dasar penswastaan memandangkan pada ketika itu negara menghadapi krisis kegawatan ekonomi.

Menurut beliau, sekarang merupakan masa terbaik untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma memandangkan keuntungan dan status kewangan negara dalam keadaan baik ditambah keuntungan yang dimiliki oleh syarikat minyak utama negara, Petronas.

“Kita minta mereka berhujah dengan fakta dan ilmiah, bukan main sentimen semata-mata. Pihak mahasiswa kami ada angka dan fakta ekonomi supaya mansuh PTPTN. Pendidikan percuma tidak mustahil boleh dilakukan. Kita bukan main sentimen bodoh sebegini,” katanya.

Tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menyahut cabaran debat yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim supaya rakyat menilai sendiri pemimpin yang mempunyai polisi dan dasar dalam menjamin masa depan negara.

Pada hari ini 500 mahasiswa di sekitar Lembah Klang mengadakan demontrasi Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.