Categories
SELANGOR

SELCAT: Taburan Hujan lebih 60mm Punca Banjir

SHAH ALAM, 16 APR : Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) diberitahu punca kejadian banjir di Hulu Langat pada 7 Mac lalu adalah disebabkan taburan hujan  melebihi paras normal, 60mm.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Haris Kasim mengesahkan kadar penurunan hujan yang dicatatkan semasa hari kejadian adalah melebihi 200mm sehingga mengakibatkan banjir kilat.

Beliau turut menyifatkan bencana banjir yang melibatkan kira-kira di 15 buah kampung di situ adalah sebagai kejadian terburuk yang pernah dialami penduduk Hulu Langat sejak tahun 1980-an.

“Sebelum ini pernah juga berlaku banjir di beberapa kawasan di sini. Tetapi kebiasaannya tidak melebihi 1 meter. Kejadian banjir bulan lalu dilihat sebagai luar biasa,” katanya.

Selain itu menurutnya, faktor topografi (keadaan rupa bumi sesuatu kawasan) di kebanyakan kawasan di Hulu Langat juga adalah  di bawah paras sungai.

Bagaimanapun jelas Haris, pihaknya akan membuat penyelenggaraan di kawasan terlibat dengan membina kolam takungan dan membaiki sistem saliran air.

“Kita telah minta taklimat dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Kita juga telah menulis surat kepada kerajaan negeri untuk meminta peruntukan bagi pembinaan kolam takungan.

Namun, projek ini akan memakan sedikit masa kerana melibatkan kos yang tinggi dan  pejabat daerah perlu menguruskan pengambil alihan semula tanah di beberapa kawasan serta merangka pelan terbaik untuk pembinaan kolam tersebut,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.