Categories
NASIONAL

SMM Tekad Teruskan Perhimpunan Bantah PTPTN

SHAH ALAM 9 APRIL : Biarpun tidak mendapat kerjasama daripada pihak polis, perhimpunan membantah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan tetap diteruskan, tegas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang.

Tindakan itu ujarnya, selari dengan pendirian Kerajaan Pusat ketika ini yang dilihat memandang enteng isu bebanan PTPTN terhadap golongan mahasiswa.

“Oleh sebab itu, kami SMM tidak akan berganjak daripada tindakan berdemo pada Sabtu (14 April) ini di Stadium Merdeka.

“Perhimpunan ini bertujuan sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan yang tidak peka isu pendidikan percuma negara ini seterusnya memansuhkan PTPTN yang membebankan,” jelas Safwan yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Menurut beliau lagi, tindakan SMM bukan bertujuan untuk menjadikannya isu politik sebaliknya berniat untuk menuntut hak yang sepatutnya dimiliki rakyat negara kaya ini.

“Tetapi setakat ini, ada pihak cuba mempolitikkan isu ini seperti pelawaan Pemuda Umno untuk rundingan meja bulat sedangkan mereka adalah cabang parti politik dan bukan secara rasminya wakil kerajaan yang ‘valid’ untuk berbincang isu ini,” ujar Safwan.

Beliau mensasarkan 5000 pelajar dan mangsa hutang pinjaman PTPTN akan menghadiri perhimpunan tersebut pada hujung minggu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.