Categories
NASIONAL

Syabas Di Beri Amaran Patuhi Terma Perjanjian

SHAH ALAM, 4 APR – Kerajaan Selangor telah menghantar notis kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai amaran supaya syarikat konsesi itu tidak melanggar terma Perjanjian Konsesi untuk membekalkan air terawat kepada pengguna di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab ini, kerajaan negeri berhak untuk menamatkan Perjanjian Konsesi dan mengambil alih fungsi Syabas untuk membekalkan air terawat ke seluruh Selangor.

Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 28 Mac lalu dimaklumkan bahawa Syabas gagal melaksanakan perkhidmatan membekalkan air terawat kepada 79 pemaju di Selangor menyebabkan pelaksanaan projek mereka terjejas akibat ketiadaan bekalan air.

“Tindakan Syabas ini jelas sekali bertentangan dengan terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan syarikat konsesi pada 15 Disember 2004. Lebih dari itu, perbuatan Syabas seolah-olah mahu menggagalkan kemajuan ekonomi di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, notis ini dihantar oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Kawal Selia Air Negeri Selangor, Datuk Noordin Sulaiman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan pada 29 Mac lalu.

Tegasnya, kerajaan negeri turut mengingatkan Syabas bahawa tanggungjawab membekalkan air terawat kepada pengguna merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu pada setiap masa.

Jelasnya, pematuhan tanggungjawab ini adalah penting supaya semua projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini tidak tergendala atau terjejas akibat kegagalan Syabas membekalkan air terawat.

“Kerajaan negeri memandang berat perkara ini dan jika terbukti terdapat kegagalan Syabas untuk membekalkan air terawat kepada mana-mana penguna sama ada pengguna domestik atau industri, ia dianggap satu perlanggaran terma Perjanjian Konsesi yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menamatkan perjanjian,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.