Categories
NASIONAL

Tuan Ibrahim: Hapus PTPTN Negara Tidak Akan Muflis

SHAH ALAM 11 APR : Negara tidak akan muflis kerana kebajikan ditaburkan kepada rakyat asalkan ianya sesuai mengikut kemampuan kewangan negara dan kecekapan pentadbirannya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, negara akan muflis dengan segala amalan pembaziran, penyelewengan, ketirisan, amalan rasuah dan salah guna dana sesebuah kerajaan sepertimana yang sedang berlaku dalam negara ini.

“Inilah yang berlaku dalam negara ini di bawah Umno-BN yang menganggap negara akan muflis apabila menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada rakyat.

“Tetapi negara tidak muflis apabila memberi subsidi kepada para kroni-kroni selain pelbagai ketirisan yang membabitkan wang rakyat bernilai RM21 bilion setahun sebagaimana dimaklum oleh Ketua Audit negara.

“Begitu juga dengan pemberian subsidi kepada para kroni dari Penjana Tenaga Bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun.

“Mengapa beri pada kroni sedemikian besar tidak memufliskan negara tetapi memberi pendidikan percuma pada rakyat boleh memufliskan negara pula.” ujar Tuan Ibrahim

Beliau berkata demikian ekoran cadangan pembangkang untuk menghapuskan  (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya nanti tetapi dianggap akan memufliskan negara oleh pemimpin Umno-BN.

“Janji yang Pakatan buat bukan sekadar omongan kosong sebaliknya kita telah mengkaji segala kemampuan dan kebolehan kita dari segi ekonomi dan pentadbiran sebelum kita berjanji kepada rakyat.

“Negara ini negara kaya, kita ada pelbagai sumber tetapi sayang kerana pentadbiran yang korup, keadaan negara ketika ini adalah kritikal,” ujar Tuan Ibrahim yang dihubungi TVSelangor sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa Kerajaan Umno/BN dilihat melakukan banyak pembaziran dengan perancangan yang tidak teliti dan komprehensif disamping banyak berlaku salah guna kuasa dan amalan kronisme.

“Saya percaya kita memerlukan pengurusan sumber dan kewangan dengan cara yang lebih cekap dan berhemah bagi membolehkan para pelajar mendapat kemudahan pendidikan secara percuma.

“Sebagai contoh, kita mengamalkan pemberian projek atau tender terbuka yang menjamin lebih kebaikan berbanding amalan Umno/BN ketika ini melalui rundingan terus,” jelas Tuan Ibrahim.

“Pelbagai ketirisan dan amalan rasuah tersebut menyebabkan kebajikan untuk membela para pelajar tidak dapat dilaksanakan.

“Malah pendidikan dijadikan sebagai suatu perniagaan menguntungkan kepada para kroni yang meminjam dari PTPTN.

Beliau menambah, Pakatan telah membuktikan kebolehan urus tadbir yang cekap dan menguntungkan rakyat melalui negeri-negeri pentadbirannya seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

“Oleh itu, InsyaAllah, kita yakin jika diberi peluang mentadbir Malaysia, kita pasti mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat termasuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

“Pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan dan bukan membebankan rakyat,” akhiri Tuan Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.