Categories
NASIONAL

Ambiga : Tuntutan Ikhlas, Biar SUHAKAM Siasat

KUALA LUMPUR, 19 MEI : Pengerusi Bersama BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga mempersoalkan tindakan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil Bumiputera Malaysia (Ikhlas) menuntut ganti rugi lebih RM1 juta yang didakwa akibat penganjuran BERSIH 3.0 di sekitar Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Beliau berkata, Ikhlas dilihat cuba mengaitkan BERSIH dalam isu itu walhal ia boleh dipertikaikan kerana kalangan peniaga lain menjalankan perniagaan mereka seperti biasa pada hari tersebut.

Katanya, BERSIH amat sangsi dengan kenyataan dibuat persatuan peniaga itu kerana ketika ini pula NGO tersebut menyatakan kesal kerana warga asing dikatakan menguasai kawasan perniagaan Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Sekarang mengatakan warga asing berniaga pula. Apakah tujuan mereka dan sampai hari ini mereka tidak mengemukakan hal kerugian mereka kepada saya. Tiada sebarang maklumat tentang tuntutan mereka tetapi saya dengar mereka telah pergi ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Itu cara yang baiklah. Biar mereka buat tuntutan mereka di SUHAKAM dan kita akan melihat bagaimana SUHAKAM akan membantu dan menasihati mereka,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ambiga berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah dalam laporan media hari ini yang menyatakan kekesalan dengan kebanjiran peniaga asing yang memonopoli pusat beli belah Jalan Tunku Abdul Rahman seolah-olah menyekat peluang peniaga Bumiputera untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, didapati 80 peratus daripada keseluruhan lot niaga di situ dikuasai peniaga asing termasuk dari Pakistan, Indonesia, Bangladesh, India dan beberapa peniaga dari rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini Ikhlas menyatakan mengalami kerugian hampir puluhan ribu ringgit berikutan himpunan BERSIH 2.0 dan 3.0 sehingga bertindak membuka gerai burger di hadapan rumah Ambiga pada 10 Mei lalu tetapi kenyataan terbaru itu memberi gambaran berlainan.

Mengulas lanjut, Ambiga menjelaskan perkara itu sengaja dijadikan isu dengan memberi gambaran bahawa penganjuran BERSIH membuatkan peniaga mengalami kerugian.

“Persoalannya isu ini bukan melibatkan BERSIH sahaja tetapi juga yang lain. Kalau ada acara lain dengan jalan ditutup seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sebagainya, tetapi kalau mereka membuka perniagaan mungkin akan mendapat untung kerana kalau dilihat gerai makanan dan minuman yang dibuka beroleh untung yang banyak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.