Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Panggil Balik Duta Dari Syria

SHAH ALAM,30 MEI : Pimpinan Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Pusat untuk mengambil pendirian tegas terhadap serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan mengusir duta Syria dan memanggil balik Duta Besar Malaysia dari negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan media bersama, pemimpin tersebut menggesa Menteri Luar Negari, Datuk Seri Anifah Aman supaya mengeluarkan kenyataan dan pendirian mengutuk serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan segera.

“Pakatan Rakyat mengecam keras pembunuhan lebih daripada 90 orang awam di Syria Jumaat lepas di mana 32 adalah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

“Kami seterusnya menuntut bahawa kerajaan Syria segera menghentikan penggunaan senjata berat di pusat penempatan penduduk, dan menyeru tentera kerajaan Syria dan militia untuk mematuhi sepenuhnya oleh pelan damai oleh Kofi Annan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.

Dilaporkan bahawa lebih daripada 15,000 orang awam telah terbunuh di Syria dan lebih 1 juta telah  melarikan diri dari rumah dan kampung-kampung mereka sejak pemberontakan menentang Presiden Syria Bashar al-Assad.

“Selepas 15 bulan keganasan, kami menuntut kerajaan Syria untuk menghentikan keganasan dalam semua bentuk,” kata kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.